Oleh Tunku ‘Abidin Muhriz

Minat saya pada demokrasi negara kita ini bermula sejak kempen Pilihan Raya Umum 1995. Mengikuti pelajaran di Alice Smith School mendedahkan saya kepada kepelbagaian sikap politik. Di kalangan rakan-rakan yang berusia 12 tahun pada waktu itu, pilihan parti banyak ditentukan oleh kedekatan dengan pemimpin parti dan rakan-rakan saya dari Ampang, termasuk seorang pelajar dari Scotland, menyokong Tengku Razaleigh dan melukis logo Semangat 46 di buku kerja mereka.

Saya tidak aktif mengikuti politik sehinggalah saya terpilih sebagai perwakilan asrama untuk Amnesty International semasa mengikuti Tingkatan Enam Rendah di England dan saya terlibat dalam menguruskan surat menggesa pembebasan tahanan penjara yang diragukan asasnya. Mereka menyatakan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim termasuk dalam kategori ini dan tidak lama selepas itu Ketua Warden saya mendapat panggilan daripada Jabatan Penuntut Malaysia dan bertanya tentang saya. Saya berhenti dari Amnesty tidak lama selepas itu untuk memberi fokus kepada pengajian A-Level: dalam Sejarah saya belajar punca kepada Perang Sivil di England dan mengingati peranan Speaker, William Lenthall menjawab balas ketika Raja Charles 1 mahu menahan Ahli Parlimen di Parlimen British (House of Commons).

Di peringkat universiti di London, saya sangat teruja bila mengetahui bahawa penduduk dari negara Komanwel boleh mengundi dalam Pilihan Raya British (juga dalam Parlimen Eropah!), dan ramai pelajar Malaysia, termasuk Perdana Menteri kita yang lepas melibatkan diri dalam politik di UK. Saya juga mengikutinya dan memilih Parti Konservatif. Di Britain, ia terkenal sebagai parti yang membebaskan: Perdana Menteri dari parti ini telah menghapuskan perdagangan hamba, membuang Undang-Undang Perlindungan Jagung (Corn Laws), menewaskan Nazi dan mengalahkan Komunis. Mereka juga parti yang membantu Malaysia pasca Perang Dunia Kedua: ketika pergolakan isu Malayan Union, beberapa orang dari Parti Konservatif seperti David Gammans, John Foster dan Lord Marchwood membantu penentangan terhadap Malayan Union. Malah selepas Merdeka dan hari Malaysia (yang didokong oleh ramai ahli Parti Konservatif), kerajaan pimpinan Edward Heath menandatangani Perjanjian Lima Kuasa Pertahanan (Five Powers Defence Arrangement) yang seterusnya menjadi faedah strategik kepada kita. Ketika Margaret Thatcher dan John Major melawat Malaysia sebagai Perdana Menteri, Tony Blair hanya datang ke sini selepas beliau bersara.

Pada masa yang sama saya dapati terdapat banyak kelab berasaskan parti politik Malaysia di London tetapi mereka kelihatan lebih banyak mengampu atau terlihat mempunyai niat yang boleh diragukan, maka saya memilih untuk menyertai kelab sosial lain di universiti yang sarat dengan aktiviti intelektual. Secara tidak langsung, modul falsafah politik telah meyakinkan saya dengan prinsip kebebasan individu dan perdagangan bebas: prinsip yang melengkapi adat dan agama saya.

Bekerja di Parlimen Britain (House of Parliament) adalah pengalaman yang sangat memuaskan: saya membantu pemindaan undang-undang, menyelesaikan banyak masalah rakyat dan bekerja untuk projek yang memaksa kerajaan untuk memperbaiki kecacatan prosedurnya. Dari situ saya berfikir bahawa Ahli Parlimen yang tidak menganggotai kabinet boleh meningkatkan taraf penduduk di kawasan mereka. Itu antara sebab utama kenapa saya menggerakkan Khidmat Penyelidikan dan Analisis untuk Ahli Parlimen (BERAS) melalui Malaysia Think Tank: dengan tujuan meningkatkan kapasiti para Ahli Parlimen untuk berkhidmat di kawasan mereka merentasi kepentingan politik kepartian.

Selepas bertugas di Bank Dunia, tempat di mana saya menyaksikan bagaimana bahayanya rasuah dan kemerosotan dalam pelbagai sistem politik dan birokrasi, saya semakin yakin kepada keperluan kerajaan terhad yang efektif. Kekuatan institusi semak dan imbang, kedaulatan undang-undang, kebertanggungjawaban dan desentralisasi yang bijak adalah ubat paling mujarab kepada kelemahan urus tadbir. Di Malaysia kita ada naratif sejarah tentang perlembagaan sekurang-kurangnya sejak 1326 dan kerangka undang-undang yang boleh diguna untuk memasukkan segala keperluan urus tadbir yang baik, dan telah kita lengahkan, untuk apa alasan – yang benar atau diimaginasi – yang mencirikan ahli politik kita.

Apa yang berlaku di Perak pada 7 Mei adalah sangat memalukan demokrasi kita. Sangat mengaibkan apabila Raja Muda terpaksa menunggu sehingga 5 jam. Amat menyedihkan menonton pencerobohan polis ke Dewan Yang Mulia. Ia benar-benar telah melanggar semangat pengasingan kuasa. Ia juga menghina keberanian Speaker William Lenthall yang telah bertindak bagi masa depan Dewan Persidangan Westminster, bahawa “bukanlah mata melihat atau lidah berkata” tetapi sebagaimana Dewan telah mengarahkannya.

Jika parti-parti mahu terus bertelingkah, kos yang akan dibayar oleh pembayar cukai dan demokrasi akan terus meningkat. Meskipun saya kekal menganggap punca masalah ini adalah kaedah pemilihan calon yang tidak cukup demokratik – dan telah melemahkan kesetiaan mereka – , kemuliaan institusi kita telah tercemar. Saya mengingati kata tokoh politik zaman kanak-kanak saya, rakan saya dari Ampang, mungkin kedekatan geografi di mana mereka tinggal tidak lagi menjadi alasan untuk seseorang disokong.

Leave a comment