Oleh Wan Saiful Wan Jan, harakah, 7 Januari 2011

Dalam kolum yang lalu saya menulis betapa ibu bapa tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sekolah mana yang akan disertai oleh anak-anak kita melainkan jika mampu membayar yuran sekolah swasta. Dalam artikel itu saya menyeru supaya PAS memperkenalkan dasar pendidikan yang memberi pilihan kepada ibu bapa, agar diskriminasi kaya-miskin dalam persekolahan boleh dikurangkan.

Beberapa kenalan berkongsi cerita dengan saya selepas membaca artikel itu. Semuanya mempunyai cerita yang hampir sama. Mereka mahu anak mereka mendapat persekolahan yang terbaik dan kalau boleh di sekolah swasta yang cemerlang, baik sekolah swasta Islam atau biasa. Tetapi, seperti saya, mereka tidak mampu membayar yuran sekolah swasta.

Perlu dinyatakan bahawa saya tidak percaya semua sekolah swasta adalah baik secara semulajadi. Ada juga yang buruk. Tetapi ada dua faktor yang memaksa sekolah swasta sentiasa memperbaiki pencapaian, iaitu faktor persaingan dan desentralisasi.

Sekolah swasta mesti bersaing untuk mendapatkan pelajar. Satu-satunya cara untuk mereka “mengalahkan” pesaing lain (iaitu sekolah swasta lain serta sekolah kerajaan) ialah dengan memastikan pelajar mereka cemerlang. Sekolah kerajaan akan terus wujud walau sekalipun kualiti mereka buruk. Tetapi sekolah swasta yang berprestasi rendah akan menjadi bankrap kerana ibu bapa tidak akan memilih sekolah sedemikian, apatah lagi jika perlu membayar.

Pengurusan sekolah swasta juga lebih decentralised. Guru-guru swasta mempunyai lebih banyak kebebasan untuk berinovasi demi memperbaiki cara pengajaran dan pembelajaran. Kebebasan ini memperkuasa para guru dan pentadbir swasta untuk melakukan yang terbaik bagi pelajar mereka, bukan menjadi pak turut Putrajaya sahaja. Satu kajian oleh McKinsey, sebuah firma terkemuka, yang diterbitkan pada November 2010 mengatakan bahawa desentralisasi, termasuklah dalam pedagogi, merupakan ciri penting sekolah yang menuju kecemerlangan.

Tetapi permasalahan kos sekolah swasta yang tinggi masih elum terurai. Maka sebagai sebuah bakal kerajaan, PAS perlu mengkaji cara untuk memperkenalkan persaingan, memberi pilihan kepada ibu bapa, dan juga mendesentralisasikan pentadbiran sekolah, tetapi pada waktu yang sama memastikan sekolah kekal percuma.

Prinsip utama yang perlu dipegang ialah pembiayaan kerajaan menggunakan cukai rakyat seharusnya mengikut pelajar. Kemana pelajar pergi, di situlah kerajaan akan membayarnya.

Sebagai contoh, jika mahu memilih sekolah agama, pasti ramai pembaca lebih yakin dengan madrasah yang dipimpin oleh pemimpin parti ini. Maka, jika itu pilihan ibu bapa, maka seharusnya kos pengajian dibiayai oleh kerajaan.

Pendidikan anak-anak adalah hak dan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa. Kenapa pula kita melepaskan hak kepada individu-individu dari Putrajaya yang tidak kita kenali untuk menentukan sekolah anak kita? Sebagai perbandingan, cuba fikirkan bagaimana reaksi kita jika ada “pegawai” yang berkata bahawa kita hanya boleh makan di restoran tertentu sahaja. Adakah kita akan menerima arahan ini dengan membuta tuli sahaja?

Sistem yang perlu kita telusuri ialah sistem baucar atau kupon. Sistem baucar memberi pilihan kepada ibu bapa kerana pembiayaan mengikut pelajar. Parti ini perlu mengkaji bagaimana sistem baucar yang sesuai dengan realiti di Malaysia boleh diperkenalkan, agar kita boleh merakyatkan sistem persekolahan.

Sistem baucar bukan sistem baru. Andrew Coulson, Pengarah Center for Educational Freedom di Cato Institute mengatakan bahawa Adam Smith telah membincangkannya dalam buku Wealth of Nations pada tahun 1776 lagi.

Pada tahun 2005 pula, majalah popular Reason menggelarkan Milton Friedman, pemenang anugerah Nobel, sebagai Bapa Reformasi Sekolah Moden kerana sepanjang hayat beliau berkempen untuk memperkenalkan sistem baucar sekolah. Menurut Friedman, jika subsidi perlu diberikan, maka ia patut diberi kepada pengguna, bukan pembekal. Inilah yang akan berlaku jika ada sistem baucar.

Saya sempat mengkaji sistem sekolah Belanda semasa lawatan ke sana pada November 2010. Sistem sekolah Belanda memberikan pilihan kepada ibu bapa sejak tahun 1917 lagi. Malahan hak ini dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Sekolah di Belanda semuanya dibiayai oleh kerajaan, tetapi 70 peratus adalah sekolah swasta. Peratusan ini semakin meningkat. Dalam kata lain, kerajaan turut membiayai sekolah swasta. Pembiayaan adalah berdasarkan bilangan pelajar dan keperluan tenaga manusia. Sekolah tidak mengenakan yuran tambahan, tetapi ibu bapa boleh menderma.

Dalam perbualan dengan Dr Frans van Noort, pengetua Kolej Gregorius, sebuah sekolah berteraskan agama, di Utrecht, beliau menerangkan bahawa semua guru dan pekerja di situ adalah pekerja swasta yang digaji oleh pihak sekolah. Ini berbeza dengan Malaysia yang mana guru-guru kita adalah pekerja kerajaan. Di Belanda, pentadbiran sekolah berkuasa penuh untuk memberi ganjaran dan mengenakan tindakan, termasuk membuang kerja, guru-guru berdasarkan pencapaian mereka dalam mendidik pelajar. Ini merupakan satu elemen penting sekolah di sana.

Saya juga bertemu dengan Ton Duif, ketua kesatuan sekerja untuk pemimpin sekolah. Beliau tegas menolak campur tangan kerajaan dalam kontrak kerja ahli-ahli kesatuan sekerja yang beliau pimpin. Itu hak mutlak pentadbiran sekolah, katanya. Sikap progresif ini amat berbeza dengan kebanyakan pemimpin kesatuan sekerja yang pernah saya temui.

Murid-murid sekolah Belanda juga kelihatan lebih matang berbanding pelajar kita. Malahan, Belanda secara konsisten mencapai keputusan cemerlang dalam penilaian sistem persekolahan global TIMSS dan PISA.

Sistem sekolah Belanda menunjukkan betapa pilihan, persaingan dan desentralisasi yang dilahirkan melalui sistem baucar memberi faedah kepada pelajar sekolah. Satu kajian World Bank bertajuk “The Role and Impact of Public-Private Partnership in Education” mendapati bahawa sistem Belanda itu bukan sahaja cemerlang dari akademik tetapi juga efektif dari kos kerana ia menghasilkan pencapaian yang baik dengan kos yang rendah. Ringkasnya, sistem baucar Belanda berkesan.

Di Amerika pula, Pertubuhan Sekolah-Sekolah Islam (Islamic Schools’ League) ditubuhkan pada tahun 1998 untuk mendokong dan menuntut lebih banyak pilihan bagi ibu bapa dalam memilih sekolah. Judi Amri, salah seorang pengasas dan ahli lembaga pengarah pertubuhan itu, berkata banyak bukti empirikal menunjukkan bahawa pilihan menghasilkan sistem yang saksama, ia dikehendaki oleh ibu bapa, dan ia berkesan.

Tanah air kita juga menyaksikan banyak institusi pendidikan swasta seperti madrasah dan sekolah pondok telah berjaya melahirkan ilmuwan agama yang tidak menjual diri mereka demi kepentingan dunia.

Seharusnya tidak ada lagi mereka yang berhujah bahawa sekolah mesti dikendalikan oleh kerajaan semata-mata. Sudah berdekad-dekad kita terbelenggu dengan ideologi sempit yang salah itu, sehingga terpaksa mengorbankan pencapaian anak-anak kita. Hakikatnya parti ini mesti memperkenalkan dasar merakyatkan sekolah dengan cara mengembalikan pilihan kepada ibu bapa, memperkenalkan persaingan antara sekolah, dan mendesentralisasikan sistem pentadbirannya.


Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my) dan bekas presiden serta mursyid HIZBI UK & Eire.

1 Comment

  • shah 2011 Jan 07 / 13:14

    i’ve been to a lot of dutch school in rotterdam and uthrect most of them in my opinion are average , the best way to create true freedom that means you as taxpayer should have ‘voucher’ that pay certain amount of money you can send your kids to school with , some school might charge more some might less so you decide on your own this will allow market to create so many different kind of education from religious based to technology based to liberal arts based etc it’s kind like higher education but less stringent and rigid that for me will create society and economics system that innovative , vibrant and ultimately will keep government in check .my $0.02

Leave a comment