First published by Malaysia Kini on 4 March 2016

Penganalisis politik, Wan Saiful Wan Jan hari ini memberi amaran bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin cuba menuduh pergerakan ‘Selamatkan Malaysia’ yang dilancarkan hari ini sebagai usaha haram untuk menggulingkan kerajaan.
Ini selepas gerakan yang menyaksikan bekas pemimpin kerajaan dan pembangkang duduk semeja dan melalui ‘deklarasi rakyat’ menuntut penyingkiran Najib yang secara khusus dinyatakan perlu dilakukan menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.

“Saya bimbang kerajaan akan cepat bertindak balas dengan mendakwa bahawa ini adalah percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang sah dengan menggunakan cara yang tidak demokrasi.

“Ini adalah tanggapan salah. Menuntut perletakan jawatan pegawai yang dipilih adalah sebahagian daripada demokrasi yang sihat dan banyak pemimpin negara-negara lain telah meletakkan jawatan separuh penggal,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Saiful yang juga adalah Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), menggesa kerajaan untuk menghormati hak demokrasi rakyat negara ini.

“Kita tidak boleh menjadikan Malaysia negara pimpinan diktator di mana perbezaan pendapat yang bertentangan akan dibendung,” katanya.

See original post at https://www.malaysiakini.com/news/332754

Leave a comment