The Malaysian Insider 19 September 2015

Bekas menteri luar Thailand, Kasit Piromya merayu Malaysia agar tidak menjadikan sesuatu perhimpunan berbaur perkauman, beberapa hari selepas “himpunan baju merah” yang menyaksikan ribuan orang Melayu turun di jalanan demi, apa yang dikatakan mereka, mempertahankan maruah kaum itu.

Pada satu persidangan mengenai liberalisme di Kuala Lumpur hari ini, Kasit berkata, perhimpunan berbaur perkauman hanya akan membawa negara ini ke arah jalan yang sama dilalui negara yang dilanda perang seperti Syria dan Iraq.

“Jangan tukarkan perhimpunan kepada isu etnik. Ia sesuatu yang berbahaya. Kita sudah melihatnya di Iraq, di Syria. Tolonglah, saya mohon kepada anda semua rakan-rakan yang saya kasihi sekalian di Malaysia,” kata Kasit dalam ucaptamanya pada majlis anjuran Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu.

Beliau menggesa kepimpinan negara mentadbir dengan penuh tanggungjawab dan mengamalkan “politik kompromi”.
“Itu sangat penting. Jika apa-apa berlaku kepada Malaysia, maka berakhirlah komuniti Asean.”

Kenyataan Kasit hari ini dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam memuji “Himpunan Rakyat Bersatu”, menyatakan ia manifestasi kebangkitan orang Melayu untuk mempertahankan maruah dan kepimpinan negara daripada dikutuk dan dihina.

“Sekali tampar, kita tak buat apa. Dua kali tampar… tak buat apa… 3 kali tampar… tak buat apa… tapi empat kali tampar sudah melampaui batas. Orang Melayu ada hak juga.

“Orang Melayu boleh bangun bila maruah mereka tercalar, bila pemimpin dihina, dikutuk dan dipermalukan. Cukup jangan sesiapa ulang perbuatan durjana seperti ini,” kata Najib.

“Perhimpunan baju merah” dianjurkan sebagai tanda protes kepada perhimpunan Bersih 4 bulan lalu, di mana ribuan rakyat berpakaian kuning berkumpul berhampiran Dataran Merdeka menuntut antara lain, peletakan jawatan Najib.

Kasit, yang berkhidmat sebagai menteri luar Thai dari 2008 hingga 2011, berkata hari ini, beliau sudah biasa dengan konflik di antara “baju merah dan baju kuning” di negaranya sendiri.

Tetapi, beliau berkata, beliau tidak mahu Malaysia, yang disifatkannya sebagai rumah keduanya, turut menghadapi masalah persengketaan antara etnik.

Katanya, Malaysia sudah “terlalu sibuk” dengan isu tempatan, sambil menambah ia akan meninggalkan kesan kepada masyarakat Asean secara keseluruhannya. – 19 September, 2015.

Leave a comment