UNTUK SIARAN SEGERA
 
Seruan Untuk Perbincangan Perpaduan Nasional
Kuala Lumpur, 16 September 2015 – 20 orang anak muda Malaysia telah menandatangani satu deklarasi yang berikrar untuk mengukuhkan keadaan perpaduan nasional di dalam Negara kita. Para felo ini percaya ini adalah masa yang sesuai untuk membuka semula perbincangan tentang tahap perpaduan di di dalam masyarakat kita dan kesannya terhadap perkembangan negara kita lewat beberapa kejadian yang melibatkan persoalan agama dan kaum.
Deklarasi ini telah ditandatangani oleh para felo dan dirasmikan oleh YAM Tan Sri Tengku Razaleigh bin Tengku Hamzah pada Persidangan Perpaduan Nasional. Persidangan yang bertemakan “Pembangunan Negara, Perpaduan dan Impian Rakyat Malaysia: Semalam, Hari Ini dan Esok” telah diadakan di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. Persidangan ini adalah anjuran para felo bersama dengan IDEAS dan Merdeka Centre for Opinion Research, yang mana bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan wacana tentang topik Perpaduan Nasional.
Deklarasi ini menyeru kearah memartabatkan semula identiti bangsa, urus tadbir kerajaan yang lebih baik dan pemerkasaan kebebasan awam. Para felo telah berikrar untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyeru kearah perpaduan nasional yang lebih utuh, celik perlembagaan, juga penggunaan media yang celik dan bertanggungjawab. Sebagai tambahan, para felo akan menyokong sebarang inisiatif dan gerakan yang bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan nasional, dalam bentuk solidariti mahupun material.
Sila muat turun Soalan-soalan Lazim berkenaan Felo Muda Perpaduan Nasional IDEAS serta teks Deklarasi Felo Muda Perpaduan Nasional di bawah
  1. Soalan-soalan Lazim berkenaan Felo Muda Perpaduan Nasional IDEAS
  2. Deklarasi Felo Muda Perpaduan Nasional
 
###
Felo Muda Perpaduan Nasional adalah sebuah inisiatif baru yang bertujuan untuk menghasilkan kepimpinan yang berkualiti dalam kalangan anak muda Malaysia. Program ini menekankan kebolehan berfikir yang strategik dan kritikal, dan bertujuan untuk menyediakan set kemahiran kepimpinan yang betul, beserta dengan kerangka teori tentang perpaduan dan juga dasar awam yang menyumbang kearah perpaduan nasional, ditambah pula dengan beberapa sesi turun padang dan peluang untuk para felo mengadakan perbincangan sesama mereka dan juga dengan tetamu jemputan, dan juga para pemimpin negara daripada segenap latar belakang.
###
 
Pertanyaan Media:
1)Calvin Woo, NUYF Fellow : calvin_3woo@yahoo.com
2)Tricia Yeoh,COO of IDEAS: tricia@ideas.org.my

 

Leave a comment