KENYATAAN MEDIA

UNTUK EDARAN SEGERA

5 JANUARI 2015

 Belia dijemput sertai program khas integrasi nasional

Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) menjemput golongan belia dan profesional muda berumur antara 20 ke 30 tahun untuk memohon menyertai program khas Felo Muda Perpaduan Nasional.  Program ini dianjurkan oleh IDEAS dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Jabatan Perdana Menteri melalui Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN).

Program khas Felo Muda Perpaduan Nasional ini bertujuan untuk membentuk sekumpulan 20 orang pemimpin muda yang akan menjuarai agenda kesederhanaan dan perpaduan nasional seperti yang diimpikan oleh Rukun Negara kita “mendukung cita cita hendak menjamin satu cara hidup liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.”.  Mereka akan diberikan latihan dan ilmu untuk membolehkan mereka menjadi juara kesederhanaan yang lebih berkesan.

Wan Saiful Wan Jan, ketua eksekutif IDEAS, menjelaskan : “Kami menjemput golongan belia dan profesional muda memohon menyertai program khas ini.  Melalui kerjasama kami dengan IKLIN dan juga lain-lain organisasi, kami akan memilih 20 orang pemimpin muda dan melatih mereka menjadi  lebih efektif dalam menjuarai agenda kesederhanaan.  Perdana Menteri kita melalui konsep 1Malaysia telah banyak kali menyatakan bahawa beliau mahu melihat lahirnya sebuah negara yang benar-benar bersatu.  Malangnya kita melihat betapa suara anti-kebebasan semakin kuat menyeru ke arah perpecahan dan permusuhan. Telah tiba masanya kita melakukan sesuatu.  Walaupun kecil, saya harap usaha kita ini dapat menyumbang ke arah kebaikan.”

Encik Ho Khek Hwa, Pengarah IKLIN, menambah bahawa: “Dua puluh orang belia dan profesional muda yang terpilih itu akan melalui satu program latihan khas untuk mem bolehkan menjadi lebih berkesan dalam membawa agenda perpaduan.  Kami menyusun program selama sembilan bulan, termasuklah siri bengkel dan pertemuan dengan pemimpin masyarakat di beberapa tempat seluruh Malaysia.  Kami akan melatih mereka dengan skil kepimpinan dan mendedahkan mereka dengan pengetahuan yang terkini berkaitan perpaduan dan integrasi.  Felo-Felo Muda ini akan melalui satu program yang menarik dan saya menyeru belia daripada semua kaum dan agama untuk memohon menyertainya.”

Para Felo Muda yang terpilih akan menghadiri tiga bengkel mengenai kepimpinan, perancangan strategik, komunikasi dan advokasi.  Di dalam bengkel ini juga mereka akan mendapat pendedahan mengenai integriti, hubungan antara kaum dan agama, pembinaan negara, ekonomi, globalisasi dan lain-lain lagi.

Selain itu, sebelas sesi interaksi dengan pemimpin komuniti dan pemimpin agama akan disusun di pelbagai tempat seluruh Malaysia untuk membolehkan kumpulan Felo Muda ini mendapatkan gambaran yang lebih tepat mengenai status integrasi nasional yang sebenar.  Kemuncak program ini ialah satu persidangan yang akan diadakan pada bulan September.

Kriteria untuk memohon adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia berumur antara 20 ke 30 tahun
  • Boleh menghadiri semua aktiviti yang disusun
  • Tiada halangan untuk bermusafir ke beberapa tempat dalam negara
  • Mempunyai latar belakang kepimpinan
  • Beriltizam dengan nilai-nilai dalam Rukun Negara

Mereka yang terpilih menjadi Felo Muda IDEAS akan menerima:

  • Sijil penyertaan setelah menamatkan program
  • Latihan seperti yang dijadualkan
  • Semua tambang dan penginapan ke aktiviti rasmi dibayar
  • Galakkan untuk memperluas rangkaian perkenalan
  • Elaun sekaligus sebanyak RM1000

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memohon, sila lawati http://ideas.org.my/?p=9347

Leave a comment