Inline images 1
 
UNTUK SIARAN SEGERA

23 June 2015

 
****

KENYATAAN MEDIA : YB Nik Nazmi salah tentang TPPA

23 Jun 2015, Kuala Lumpur – Ketua Angkatan Muda Keadilian, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, telah mengeluarkan kenyataan bertarikh 22 Jun 2015 yang mendesak supaya kerajaan Malaysia menarik diri daripada perundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).  Mengulas kenyataan tersebut, ketua eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan, berkata:
“Saya menyokong pandangan YB Nik Nazmi bahawa perundingan ini dijalankan secara terlalu rahsia.  Ini ketempangan yang nyata kerana ia menghalang rakyat daripada mengetahui status sebenar perkara-perkara yang dirundingkan.  Kelemahan yang ketara ini perlu diperbaiki segera.  Kerajaan Malaysia tertakluk kepada persefahaman dengan semua negara-negara lain yang turut serta dalam proses rundingan dan kita mesti menuntut agar maklumat yang sesuai didedahkan kepada masyarakat”

“Bagaimanapun YB Nik Nazmi salah apabila menuntut supaya Malaysia berundur daripada meja rundingan.  Penyertaan dalam rundingan tidak bermaksud kita mesti menandatangani TPPA.  Jika kita tidak suka dengan hasil akhir, maka kita tidak perlu menandatangani perjanjian itu.  Tetapi jika kita mengeluarkan diri sekarang, kita meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lemah kerana kita langsung tidak akan tahu apa yang sedang dibincangkan dan kita tidak juga mempunyai mekanisme untuk mempengaruhi perkembangan rundingan.”

“YB Nik Nazmi menuntut supaya kerajaan membuat keputusan yang betul dan mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara kita. Tapi bagaimana kita hendak menjaga kepentingan negara kalau kita sendiri keluar dari bilik rundingan? Saya tidak nampak logik yang digunakan oleh YB Nik Nazmi.  Jika hendak memastikan kedaulatan negara, maka yang paling baik ialah untuk kita kekal dalam rundingan supaya kita tahu perbincangan dalaman yang berlaku. Kalau kita tidak berada di dalam, maka kita hanya terpekik di luar tanpa mengetahui hujung pangkal.  Janganlah kita sangka pegawai-pegawai negara yang dihantar untuk berunding bodoh-bodoh belaka dan hanya akan menjadi pak turut Amerika.  Sudah pastilah kehadiran mereka duduk di meja rundingan untuk mempertahankan kedaulatan negara dan mereka tidak akan tunduk membuta tuli.”

# # #

 

Tentang IDEAS

IDEAS adalah badan pemikir pertama di Malaysia yang mempromosikan penyelesaian berasaskan pasaran untuk cabaran dasar awam. Kami adalah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik,bangsa atau agama.

 

Misi kami adalah untuk meningkatkan tahap kefahaman dan penerimaan terhadap dasar-dasar awam yang berasaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang, kerajaan terhad, pasaran bebas dan kebebasan individu. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://ideas.org.my/

# # #

 

Pertanyaan Media:

IDEAS (+60-3) 6201 8896/ 8897

Leave a comment