The Malaysian Insider 19 August 2014

Krisis menteri besar Selangor akan berakhir namun apakah yang menjadi penyebabnya krisis demi krisis merenggangkan tiga parti berbeza ideologi dalam Pakatan Rakyat (PR), kata penganalisis.

eperti krisis membawa rang undang-undang persendirian hudud pada April, krisis menteri besar Selangor melihatkan satu usaha dalaman PAS bagi menjernihkan hubungan bersama PR.

Penganalisis berkata, usaha itu digerakkan pemimpin pro-PR yang berdepan dengan golongan yang berpandangan idealisme parti sudah banyak dikorbankan ketika bersama PR.

agaimanapun, PAS berjaya bekerjasama dengan DAP dan PKR memberi petanda baik parti komponen PR kini sedar kepentingan bertolak ansur dan meraih situasi menang-menang ketika berdepan krisis.

Namun, jika PAS dan PR gagal menyelesaikan kemelut dalaman ini, mereka tidak akan mendapat sokongan rakyat untuk terus ke Putrajaya.

Kerajaan negeri Kelantan melalui ahli Parlimen PAS pada April bercadang membawa rang undang-undang persendirian hudud ke Parlimen dengan mendapat kerjasama ahli Parlimen Umno.

Rancangan itu mengundang perselisihan di antara PAS dan PR. Pemimpin PR seperti Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menjangkakan PR akan berpecah jika perkara itu tidak dapat diselesaikan.

Tiga bulan kemudian, Majlis Syura PAS menyatakan pendirian bertentangan dengan PR apabila menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor.

Sekali lagi, pemimpin seperti Lim meramalkan PR akan berpecah dan mahu PAS menyatakan pendiriannya segera ketika kemelut menteri besar Selangor semakin memuncak.

Ramalan Lim tidak menjadi kenyataan. Tetapi, PAS pula dilihat sebagai sebuah parti yang selalu bercanggah dengan PR.

Penganalisis politik Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin berkata pendirian yang diputuskan PAS semalam penting supaya wujud situasi menang-menang.

“Ada pandangan yang lahir dari dalam PAS sendiri dan ada juga yang diberikan PR. Semua ini mesti seimbang. Ia merupakan proses rundingan,” kata Shaharuddin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau percaya menjadi satu keperluan bagi PAS mencadangkan dua nama pengganti Khalid iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali.

“Jika hanya satu nama, akan ada perkara berbangkit di kemudiannya. Dengan dua cadangan nama calon jelas wujud tolak ansur,” katanya.

Sebelum ini wujud spekulasi mendakwa terdapat sebilangan pemimpin PAS yang tidak bersetuju jika Dr Wan Azizah menggantikan Khalid. Mereka bimbang Dr Wan Azizah tidak dapat mentadbir secara bebas kerana suaminya merupakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ada juga yang mencadangkan Adun PAS diberikan peluang menjadi menteri besar Selangor kerana parti Islam itu mempunyai bilangan kerusi DUN yang lebih banyak berbanding PKR.

Pandangan ini bercanggah dengan mereka yang percaya kerusi menteri besar perlu diserahkan kepada PKR sebagaimana yang diputuskan sebelum ini.

Shaharuddin berkata, bagi memenuhi permintaan yang pelbagai, rundingan semalam mencapai kata sepakat.

Seorang lagi penganalisis, Wan Saiful Wan Jan berkata mencadangkan dua nama tidak menjadi masalah walaupun PKR hanya mahukan Dr Wan Azizah.

“PAS melakukan perkara betul dengan memberikan dua nama. Dengan mencadangkan satu nama akan membuka ruang kepada pertuduhan nepotisme,” kata Wan Saiful yang merupakan ketua eksekutif di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas).

Wan Saiful berkata, apa yang menjadi masalah adalah pandangan berbeza PAS dalam krisis ini menunjukkan kemelut dalaman yang mengancam kerjasama bersama PR.

“Sampai bila PR akan membenarkan kemelut dalaman PAS memberi kesan kepada PR,” kata Wan Saiful.

Ketika PKR mengumumkan Khalid akan digantikan dengan Dr Wan Azizah, mereka mendapat sokongan DAP.

Sebelum PAS menyatakan pendirian, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura memberikan sokongan terhadap Khalid.

Kepimpinan PAS Selangor turut berdiri teguh di belakang Khalid dan meminggirkan cadangan PR.

Wan Saiful berkata, keputusan PAS semalam menghakis kepercayaan rakyat terhadap parti Islam itu.

“Sekarang mereka tidak menyokong Khalid tetapi beberapa hari sebelumnya sokongan adalah sebaliknya. Tahap kepercayaan terhadap PAS merudum disebabkan perkara ini.

“Mereka perlu memberikan kerjasama kepada PR dan tidak membiarkan krisis ini berlarutan sehingga 17 Ogos,” katanya.

Seorang lagi penganalisis Dr Wong Chin Huat berkata PAS perlu jelas peranan yang ingin dimainkan dalam PR.

“Jika mahu terus bersama, mereka perlu kekal memberi sokongan. Jika sebaliknya, tiada sebab untuk bersama,” kata Wong daripada Penang Institute.

Wong berkata, beliau percaya satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu kepimpinan sebegini pada masa depan ialah dengan mengadakan sistem kaukus dalam PR di mana wakil yang terpilih boleh mengundi calon yang mempunyai lebih banyak sokongan.

Sebaliknya, Profesor James Chin berkata krisis yang berlaku adalah pertembungan personaliti di antara Hadi dan Anwar.

Chin berkata, PAS dan PR mempunyai ideologi yang berbeza kerana PAS mahukan negara Islam, satu fahaman yang tidak didukung PKR dan DAP.

“Ini gambaran yang lebih besar dan krisis seperti ini akan berterusan mencipta krisis yang lain,” kata Chin.

Wan Saiful melontarkan pandangan:“Apa akan terjadi jika PR menakluk Putrajaya dan krisis seperti ini terjadi? Ia satu malapetaka.”

Leave a comment