The Malaysian Insider 30 July 2015

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membersihkan Kabinet daripada penentangnya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih tidak jelas sama ada beliau akan dapat menutup mulut pengkritik lain dalam Umno dan mendapatkan semula sokongan orang ramai yang semakin merosot.

Dari satu segi, Kabinet yang teguh di belakangnya akan memberikan perdana menteri ruang menangani kebimbangan mengenai ekonomi – kebimbangan nombor satu kebanyakan pengundi mengikut kaji selidik dibuat – dengan harapan mendapatkan semula sokongan rakyat.

Dari sudut lain, keadaan dan masa rombakan itu menimbulkan keraguan mengenai integriti siasatan Putrajaya ke atas skandal pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang diilhamkan Najib.

Penyingkiran Muhyiddin selepas membuat kritikan terbuka terhadap cara Putrajaya mengendalikan 1MDB dibuat ketika siasatan berada di puncak terhadap dakwaan dana daripada entiti berkaitan 1MDB disalurkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Tetapi di kalangan majoriti rakyat Malaysia, menurut kaji selidik, isu 1MDB tidak menjadi kebimbangan utama walaupun integriti negara menjadi taruhan, dan begitu juga imej perdana menteri.

Isu keperluan hidup lebih utama daripada politik

Kaji selidik Merdeka Center secara konsisten menunjukkan rakyat Malaysia lebih mengambil berat tentang kos isu-isu kehidupan, pekerjaan dan perumahan berbanding politik.

Kajian pada Januari 2015 menunjukkan, 62% responden menyatakan isu-isu ini yang paling dibimbangkan, manakala hanya 3% berkata mereka bimbang mengenai isu-isu politik.

Kajian sama menunjukkan rating Najib menurun kepada 44%, paling rendah sejak mengambil alih jawatan pada 2009.

Serentak dengan masalah ekonomi, jatuhnya sokongan terhadap Najib itu mungkin menyebabkan kerumitan kewangan skandal 1MDB kurang diambil berat oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan membolehkan Najib meneruskan rombakan Kabinetnya yang penuh kontroversi.

Dengan menghapuskan perbezaan pendapat dalam Kabinet serta membentuk pasukan teguh yang akan menyokong beliau, Najib boleh mula menangani isu-isu ekonomi yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia, kata Ibrahim Suffian daripada Merdeka Center.

“Dalam jangka masa panjang, jika beliau boleh mengurangkan perbalahan dalaman, beliau boleh mula mendapatkan sokongan dengan memberi fokus kepada ekonomi,” katanya.

“Bukan untuk meremehkan isu-isu ini, tetapi sebahagian besar orang ramai lebih mementingkan ekonomi berbanding 1MDB.”

Rancangan Najib bagaimanapun, masih boleh digagalkan jika Muhyiddin memutuskan untuk menyatukan suara kecewa dalam Umno untuk mengecam perdana menteri melalui undi tidak percaya, kata Wan Saiful Wan Jan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Memandangkan kekananan Muhyiddin dalam Umno, bekas timbalan perdana menteri yang diturunkan itu boleh memulakan perang sebenar dalam parti jika beliau memutuskan untuk berbuat demikian, katanya.

“Beliau juga mempunyai pilihan menunggu persidangan Parlimen akan datang dan memulakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri di Parlimen,” kata Wan Saiful, yang merupakan ketua eksekutif Ideas.

Tetapi beliau mengakui kemungkinan tersebut mungkin tidak akan terjadi memandangkan pengaruh Najib, sebagai presiden parti, ke atas ketua bahagian Umno.

Pada satu mesyuarat parti pada Mac, lebih 160 daripada 199 ketua bahagian menyatakan sokongan mereka kepada Najib, walaupun 1MDB sedang disiasat.

Ketua bahagian tersebut, ramai daripada mereka menteri dan wakil rakyat, memainkan peranan penting dalam memastikan sama ada undi tidak percaya akan berjaya atau tidak.

Satu laporan oleh The Malaysian Insider pada 10 Mei juga menunjukkan ahli biasa yang membawa usul tidak percaya terhadap Najib di peringkat bahagian juga tidak mendapat sokongan mencukupi untuk berjaya.

“Arus penentangan terhadap Najib meningkat dalam Umno, tetapi realitinya adalah, jika beliau mahu kekal, tidak ada yang menghalangnya daripada berbuat demikian,” kata Wan Saiful.

Integriti siasatan 1MDB

Kesan paling serius akibat rombakan Kabinet, yang diadakan pada hari yang sama dengan penggantian peguam negara, adalah terhadap siasatan 1MDB.

Kepercayaan yang siasatan itu akan mengorek skandal syarikat pelaburan milik negara tersebut hingga ke lubang cacing kini terjejas teruk.

“Rakyat akan jadi sangat curiga, mengapa semua perubahan ini berlaku apabila siasatan itu sedang mengumpul kekuatan,” kata aktivis anti-rasuah Datuk Akhbar Satar, presiden Transparency International Malaysia (TI-M).

Tan Sri Abdul Gani Patail, dilucutkan sebagai peguam negara, adalah salah seorang anggota pasukan petugas khas peringkat tinggi yang menyiasat skandal 1MDB yang membuat 5 tangkapan minggu lepas.

Gani mempunyai pengalaman luas mengendalikan kes rasuah dan menggantikannya ketika proses itu sedang berjalan akan menjejaskan siasatan, kata Akhbar.

“Peguam negara baharu perlu membuktikan beliau boleh menyiasat tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Timbul juga persoalan sama ada beliau mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk ini,” kata Akhbar, merujuk kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang kini peguam negara.

Menambah kepada syak wasangka ialah hakikat yang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang menjalankan siasatan terhadap 1MDB, terpaksa menghentikan siasatan berikutan pelantikan 4 anggotanya sebagai timbalan menteri, termasuk pengerusinya yang vokal, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Pelantikan dibuat ketika pegawai eksekutif tertinggi 1MDB akan disoal siasat PAC awal bulan depan.

“Masa dan cara rombakan ini dilakukan seolah-olah membayangkan perdana menteri hanya mahu menutup mulut pengkritik dan menghentikan sebarang kemungkinan pendakwaan jenayah,” kata Wan Saiful.

“Ia merupakan langkah tidak bijak bagi negara dan menimbulkan persoalan tentang integriti kerajaan.” – 29 Julai, 2015.

Leave a comment