Berita Harian 23 Ogos 2014

Rakyat Selangor menunggu penuh debar kepulangan Sultan mereka minggu depan, yang diharap dapat menyelesaikan krisis kepemimpinan negeri yang berlarutan sehingga kebajikan terabai.

Sementara menunggu Sultan membuat keputusan, rakyat dipertonton drama yang penuh intrig dan manipulasi politik membabitkan parti sekutu dalam pakatan pembangkang. Semua aspek politik kotor dapat dilihat: diktator, rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan fakta, berita palsu, pembohongan, fitnah, saling kutuk dan kecam mengecam, tikam belakang, serangan peribadi, kronisme, nepotisme, beli sokongan, keputusan U-turn dan macam-macam lagi.

Pernah disokong Ketua Umum, Presiden dan barisan kepemimpinan PKR, pemimpin DAP dan PAS, Majlis Peguam dan puluhan NGO pro-pembangkang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini tahu apa maknanya kena ‘main belakang’ oleh sekutu politik dan teman seperjuangan. Jika analogi Gaza digunakan, Abdul Khalid ibarat Palestin yang teraniaya. PKR dan DAP macam Israel, yang setiap hari membedil dan mengguna pelbagai senjata untuk menghancurkan Menteri Besar Selangor itu. PAS bagaikan Mesir, yang walaupun sebangsa dan seagama dengan pihak teraniaya, memilih untuk bersama pihak yang zalim demi kepentingan politik dan kuasa.

Abdul Khalid berjanji untuk berkhidmat satu penggal saja lagi dan ini diterima rakyat Selangor, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu tergesa-gesa mahu isterinya menjadi MB Selangor. Kenapa tidak boleh tunggu tahun 2018? Timbullah pelbagai teori: Abdul Khalid terbabit rasuah dan salah guna kuasa, beliau kedekut dan tidak bantu kroni dalam pakatan pembangkang, pengaruh dan sokongan terhadapnya menurun, beliau keras kepala dan tidak dengar kata Anwar.

Ada yang menyebut PKR mahu tutup cerita pemilihan parti yang huru-hara dan paling memalukan abad ini, pemimpin pakatan pembangkang mahu rebut dan guna wang rizab negeri yang melebihi RM3 bilion, dan MB Selangor juga harus orang yang boleh memberi perlindungan kepada Anwar bila beliau menghadapi kes liwatnya di mahkamah tidak lama lagi.

Cemuh pucuk pimpinan sendiri

Namun, kerana terkilan dan kecewa dengan kaedah politik yang buruk, tidak beretika dan tidak demokratik, beberapa pemimpin pertengahan dan kalangan ahli PAS, PKR dan DAP menegur dan mencemuh pucuk pimpinan sendiri. Dalam kalangan PAS, paling lantang ialah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan, Dr Mohd Zuhdi Marzuki; Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali Al-Takiri; Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohd Abduh Nik Aziz dan Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhamad Sanusi Mohd Nor.

Umumnya, mereka mengkritik peranan Anwar, Saifudin Nasution dan Rafizi Ramli, sikap pucuk pimpinan PAS yang tidak konsisten menyokong Abdul Khalid serta terhadap beberapa pemimpin DAP dan PKR yang bermulut celupar. Pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Anthony Loke pula mempertikai tahap setiakawan dan sikap dolak dalik PAS. Diberitakan anak Anwar sendiri, Nurul Izzah, antara pemimpin PKR yang memprotes kaedah tidak demokratik digunakan bapanya untuk menjatuhkan Abdul Khalid. Dalam saga MB Selangor, suaranya tidak kedengaran langsung.

Turut terkesan ialah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, yang menerima tempias daripada kemelut kepemimpinan PKR ini. Beliau dikritik hebat oleh pemimpin DAP kerana sikap acuh tidak acuhnya. Menurut pemerhati politik, Wan Saiful Wan Jan, dalam satu rencana pada 19 Ogos lalu, Hadi ‘bersikap lewa’ dan ‘sudah kehabisan alasan’ dalam menangani kemelut politik ini. Namun, apabila Hadi berpendirian menyokong Abdul Khalid, ia disanggah timbalannya, Mohamad Sabu sebagai ‘pandangan peribadi’ yang tidak mencerminkan pendirian parti. Hadi turut dikritik hebat dalam media sosial.

Kata Datuk Hassan Ali: “Belum pernah dalam sejarah PAS wujud keadaan di mana ada sebahagian pemimpin lapis pertama secara terbuka menidakkan presiden parti. Presiden dicerca, dimalu, dihina dan ‘ditelanjangkan’. Boleh dikatakan tiada lagi darjah penghinaan yang tidak diguna dan ditujukan kepada presiden parti.” Tidak lama kemudian, Hadi ubah keputusan dan menyokong pencalonan Wan Azizah pula.

Ulang tayang drama

Belum pun krisis MB Selangor ini selesai, satu lagi isu bakal menguji ketahanan pakatan pembangkang sebagai satu ‘koalisi’ politik. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan jawatankuasa teknikal mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan semakin hampir menyelesaikan tugasnya selepas tiga kali bermesyuarat. Keyakinan dan ketegasan PAS untuk merealisasikan hukum syariah Islam di Kelantan semakin memuncak selepas mendapat reaksi positif UMNO Kelantan dan Kerajaan Pusat serta pelaksanaan hukum hudud di Brunei dan Aceh.

DAP dan PKR perlu berdepan sekali lagi dengan prospek ‘berbalah besar’ dengan PAS dalam soal ini kerana sudah banyak kali memberi amaran agar PAS gugurkan agenda hudud dan objektif menubuhkan negara Islam.

Pada 20 Julai lalu, DAP Sarawak meluluskan resolusi untuk keluar daripada pakatan pembangkang negeri itu dalam tempoh sebulan (sepatutnya tiga hari lalu) jika PAS meneruskan hasratnya melaksanakan hukum hudud. Pengerusinya, Chong Chien Jen memberi amaran akan memulau semua kegiatan PAS dan PKR. Jika ini berlaku, pasti menarik untuk dilihat ulang tayang drama dan intrig politik pakatan pembangkang.

Leave a comment