Oleh Wan Fadzrul Wan Bahrum dan Wan Saiful Wan Jan

Persidangan ASEAN ke-14 di Thailand yang baru tamat pada 1 Mac lalu sepakat memutuskan bahawa negara-negara ASEAN perlu memastikan pengaliran bebas barangan, perkhidmatan dan tenaga manusia di rantau ini. Para pemimpin ASEAN menyatakan komitmen mereka menentang perlindungan dan sekatan perdagangan, serta mengurangkan campurtangan kerajaan dalam sistem pasaran. Sistem pasaran yang lebih liberal akan diperkukuhkan sebagai teras pembangunan ekonomi serantau.

Kenyataan ini menunjukkan bahawa para pemimpin ASEAN dan juga pemimpin negara kita sedar bahawa campur tangan kerajaan dalam sistem pasaran secara berlebihan memang tidak akan menyelesaikan krisis ekonomi yang sedang melanda. Keyakinan mereka terhadap sistem pasaran perlu dipuji. Krisis ekonomi yang sedang melanda asalnya disebabkan oleh campur tangan kerajaan Amerika Syarikat yang berlebihan dalam sistem pasaran mereka, dan kita mesti tidak mengulangi kesilapan Amerika.

Akibat campurtangan kerajaan dalam sistem pasaran

Campur tangan kerajaan Amerika dalam pasaran berlaku dalam pelbagai bentuk. Sewaktu Alan Greenspan menjadi pengerusi Federal Reserve, iaitu Bank Negara Amerika Syarikat, beliau mengamalkan dasar kewangan yang longgar. Usaha mempertingkat kecairan selepas serangan teroris 9/11 pula menyebabkan harga aset melambung kerana pinjaman boleh diperolehi dengan mudah.

Pada tahun 1977 kerajaan Amerika telah meluluskan Community Reinvestment Act (Akta Pelaburan Semula Masyarakat) yang dipinda dan diperkukuh pada tahun 1995. Akta ini menjadikan satu kesalahan jika bank-bank tidak memberi pinjaman kepada mereka yang berisiko tinggi yang tinggal di kawasan-kawasan miskin, walaupun kemungkinan besar mereka tidak akan mampu membayar balik pinjaman tersebut. Niat kerajaan Amerika asalnya memang baik. Mereka mahu orang termiskin mampu mendapatkan pinjaman perumahan untuk membeli rumah. Tetapi campurtangan ini telah melahirkan apa yang dikenali kini sebagai pinjaman ‘subprima’ – pinjaman yang di bawah tahap terbaik (below prime). Atau dalam kata mudah, pinjaman yang buruk.

Syarikat-syarikat yang didokong oleh kerajaan, terutamanya Fannie Mae dan Freddie Mac, tambah memburukkan keadaan. Mereka membeli atau menjamin pinjaman perumahan subprima daripada bank-bank walaupun para peminjam mungkin tidak mampu untuk membayar balik wang yang mereka pinjam. Kewujudan jaminan tidak langsung daripada kerajaan melalui syarikat-syarikat yang mereka dokong itu menyebabkan pinjaman subprima bertambah berleluasa.

Semua ini akhirnya mencipta pertumbuhan ekonomi yang pesat bersandarkan appresiasi harga aset. Tetapi pertumbuhan itu hanyalah fatamorgana sahaja.

Kini hampir semua negara terpaksa menanggung krisis ekonomi global yang disebabkan oleh campur tangan kerajaan Amerika dalam urusan pasaran. Di seluruh dunia, sekitar US$10 trilion terpaksa diperuntukan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat tertentu. Jumlah ini amat besar, hampir sepuluh kali ganda saiz ekonomi India. Lebih US$1 trilion pula telah diperuntukan untuk pakej rangsangan ekonomi, termasuklah di Amerika sebanyak US$787 bilion dan di China US$586 bilion.

Tindakbalas Malaysia

Malaysia melancarkan pakej rangsangan bernilai RM7 bilion pada bulan November 2008, dan satu lagi pakej yang lebih besar mungkin akan diumumkan oleh Datuk Seri Najib tidak lama lagi. Akibatnya jumlah defisit belanjawan negara akan meningkat sehingga melebihi 5 peratus KDNK. Bank Negara juga telah menurunkan kadar faedah kepada 2.5% pada 21 Januari 2009, dan terdapat ura-ura bahawa kadar ini mungkin diturunkan lagi.

Dalam menghadapi krisis ekonomi ini, pemimpin negara kita perlu menghayati semangat deklarasi Persidangan ASEAN sepenuhnya. Tindakan kita sewajarnyalah berteraskan prinsip-prinsip pasaran yang lebih liberal seperti yang dinyatakan dalam kenyataan ASEAN tersebut.

Pakej rangsangan yang terlalu besar mungkin tidak akan menghasilkan kesan jangka panjang yang kita mahukan. Pakej rangsangan sebenarnya adalah penggunaan simpanan negara dan hutang untuk mensubsidi perbelanjaan semasa sektor awam. Lebih besar pakej tersebut, lebih besar jugalah hutang negara yang terpaksa ditanggung oleh rakyat hingga ke anak cucu.

Langkah yang lebih baik

Sebagai langkah membantu pembuat dasar negara, baru-baru ini Malaysia Think Tank telah mengeluarkan satu dokumen ringkas mengandungi beberapa cadangan langkah yang boleh diambil oleh kerajaan. Cadangan-cadangan ini telah diserahkan kepada ahli-ahli parlimen untuk diperbahaskan.

Antara langkah yang kami cadangkan ialah penurunan tetap kadar cukai individu, perniagaan, barangan dan perkhidmatan. Pakej rangsangan hanyalah langkah sementara yang akan mengurangkan pendapatan jangka panjang rakyat dan syarikat kerana cukai di masa hadapan akan terpaksa dinaikkan untuk membayar balik pinjaman yang dibuat hari ini. Sebaliknya penurunan cukai pendapatan dan cukai perniagaan secara kekal akan memberitahu rakyat dan syarikat bahawa pendapatan jangka panjang mereka akan lebih tinggi. Cukai jualan dan cukai perkhidmatan pula hanya menaikkan harga, dan akhirnya merendahkan kadar konsumpsi. Semua cukai ini perlu dikurangkan. Penurunan cukai akan menggalakkan perbelanjaan dan kadar konsumpsi, lantas membantu merangsang kembali ekonomi.

Satu lagi langkah yang perlu dilaksanakan serta merta ialah menurunkan kadar caruman KWSP yang dikenakan kepada majikan dan juga pekerja. Langkah ini akan membolehkan pekerja membawa pulang gaji yang lebih tinggi untuk membantu mereka dalam perbelanjaan seharian. Kos operasi yang ditanggung oleh majikan akan berkurangan dan mereka boleh menggunakan dana yang terkumpul untuk tujuan lain seperti memberi bonus kepada pekerja, melabur semula dalam operasi, mengambil pekerja baru ataupun mempertingkat simpanan dana (cash reserve) untuk masa-masa kecemasan.

Usaha membawa masuk pelaburan asing serta perdagangan antarabangsa juga mesti dipertingkat. Kerajaan perlu menurunkan sekatan-sekatan perdagangan dan pelaburan seperti tarif, duti, dan lain-lain peraturan yang menghadkan kebebasan sistem pasaran di negara kita. Perlindungan harta intelektual, hakcipta dan paten, dan juga kestabilan politik perlu diperkukuhkan untuk memperbaiki keyakinan pelabur antarabangsa. Liberalisasi pasaran perlu diteruskan kerana persaingan yang sihat akan melonjakkan kedudukan industri negara dalam rangkaian nilai dan rantai pembekalan. Kita masih lagi mempunyai banyak usahawan dalam bidang pertanian. Kita patut mengikut contoh New Zealand yang telah meliberalisasikan sektor pertanian dan perladangan mereka, sehingga menjadikan mereka negara pertanian yang paling produktif di dunia.

Leave a comment