Oleh Wan Saiful Wan Jan

Di kota London beberapa hari lepas terdapat iklan akhbar satu muka surat penuh yang ditaja oleh sebuah NGO bernama Christian Aid. Iklan itu menyeru warga London supaya menulis surat kepada Perdana Menteri Gordon Brown. Christian Aid mahu supaya Gordon Brown mengusahakan agar Kesatuan Eropah menurunkan emisi karbon dan memastikan negara-negara membangun juga “dibantu” untuk menghadkan emisi karbon mereka.

Beberapa akhbar lain juga mempunyai iklan yang bernada sama. Semua ini disebabkan pada bulan Disember nanti akan diadakan Sidang Kemuncak PBB mengenai Alam Sekitar di Copenhagen. NGO-NGO ini telah memulakan kempen mereka sebagai persediaan untuk persidangan itu.

Jika dipandang sekali imbas, usaha menjaga alam sekitar yang mereka jalankan kelihatan baik. Tetapi sebenarnya ia penuh dengan perangkap yang akan menyusahkan negara membangun seperti Malaysia.

Sebagai contoh, lihat sahaja Akta Kebersihan dan Sekuriti Tenaga Waxman-Markey yang dalam proses untuk digazetkan di Amerika. Akta ini memperkenalkan kuota emisi karbon di Amerika. Sebahagian daripada kuota ini boleh dijual-beli.

Akta tersebut didakwa akan memberi insentif agar teknologi baru dicipta untuk memperbaiki efisiensi penggunaan tenaga dan menurunkan kadar pengeluaran gas karbon dioksida yang dikatakan membahayakan alam sekitar.

Walaupun pada permulaan Akta Waxman-Markey ini mungkin hanya terpakai di Amerika, telah ada tanda-tanda awal bahawa ia akan dijadikan helah untuk mencipta sekatan perdangan yang akhirnya menindas negara membangun.

Contohnya telah ada ahli politik Amerika yang berkata bahawa kadar konsumsi yang tinggi di Amerika menyebabkan industri pembuatan barangan eksport di negara-negara membangun menjadi lebih aktif. Oleh kerana kilang-kilang di negara-negara membangun mungkin mempunyai piawaian alam sekitar yang lebih rendah, maka untuk mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar Amerika perlu mengenakan cukai import terhadap barangan tersebut.

Dalam kata lain, kesan langsung daripada akta yang kononnya bertujuan melindungi alam sekitar ini ialah barangan import daripada negara-negara membangun akan dikenakan duti yang lebih tinggi. Peningkatan kos perdagangan antarabangsa akan menurunkan kadar eksport daripada negara-negara membangun ke Amerika. Akhirnya ekonomi negara membangun seperti kita juga yang menjadi mangsa!

Mungkin setelah menyedari bahawa kempen alam sekitar di negara-negara Barat kerap kali dijadikan topeng kepada sekatan perdagangan yang menzalimi negara membangun, maka Jairam Ramesh, Menteri Alam Sekitar India, berkata bahawa beliau tidak akan menandatangani apa-apa perjanjian di sidang kemuncak Copenhagen sekiranya ia memaksa negara membangun menghadkan emisi karbon.

Mujurlah masih ada pemimpin negara dunia ketiga yang berani dalam menangani isu ini. Beliau menyedari hipokrasi negara-negara Barat yang telah sekian lama cuba menghalang kebangkitan dunia ketiga. Malaysia perlu mencontohi sikap India dalam hal ini.

Jangan kita terperangkap dengan kata-kata manis aktivis alam sekitar yang hanya mengikut telunjuk negara-negara Barat, dan mengenepikan kepentingan pembangunan negara kita sendiri serta fakta sains mengenai perubahan iklim dunia.

Deepak Lal, seorang cendiakawan tersohor dan profesor dalam bidang pembangunan antarabangsa di Universiti California, berkata negara-negara Barat sering menggunakan alasan alam sekitar untuk menghalang dunia ketiga daripada menyaingi pembangunan mereka.

Menurut Professor Lal, tidak mungkin dunia ketiga boleh maju jika kita dipaksa bergantung kepada sumber tenaga “hijau” sahaja. Usaha negara Barat mahu menghadkan kadar emisi karbon akan membantutkan proses industrialisasi dunia ketiga dan akhirnya kita juga yang akan ketinggalan dan terus miskin.

Negara-negara maju memang boleh bercakap berdegar-degar mengenai perlunya pelbagai peraturan untuk menghadkan emisi karbon. Dengan pendapatan per kapita tinggi hasil daripada industrialisasi pesat yang telah mereka lalui, mereka mampu untuk hidup mewah.

Tetapi kini mereka mahu menghalang kita daripada mengecapi nikmat pembangunan dan industrialisasi yang sama. Bertopengkan kempen penjagaan alam sekitar, mereka seolah-olah mahu kita tinggal dalam hutan belantara demi memastikan dunia terus “hijau”.

Biasanya aktivis alam sekitar mahu kita percaya bahawa penyebab utama perubahan iklim global ialah emisi karbon daripada pelbagai aktiviti manusia termasuklah industri pembuatan dan perkilangan. Tetapi teori ini semakin dipersoalkan oleh pakar-pakar klimatologi.

Profesor Henrik Svensmark, pengarah Pusat Kajian Iklim dan Matahari di Institut Angkasa Denmark, serta beberapa orang pakar lain telah menulis panjang lebar mengenai hasil kajian mereka dalam bidang kosmoklimatologi. Mereka mendapati bahawa iklim dunia tidak begitu banyak dipengaruhi oleh emisi karbon.

Faktor lebih penting ialah struktur awan yang mengawal jumlah tenaga cahaya matahari yang sampai ke permukaan bumi. Interaksi antara tenaga cahaya matahari, wap air, angin solar, aktiviti di permukaan matahari, dan beberapa faktor lain yang sebenarnya menentukan sama ada iklim muka bumi berubah atau tidak. Emisi karbon yang terhasil daripada aktiviti manusia memainkan peranan yang kecil sahaja.

Perbincangan mengenai isu saintifik ini agak teknikal dan saya tidak berhajat untuk mengulas terlalu mendalam. Mesej utama saya ialah ada teori iklim lain yang sedang dibicarakan oleh pakar-pakar iklim sedunia. Teori ini menghujahkan bahawa emisi karbon daripada aktiviti manusia bukanlah penyebab utama perubahan iklim.

Maka apabila aktiviti manusia bukan penyebab utama perubahan iklim, kita perlu berhati-hati apabila berhadapan dengan aktivis alam sekitar Barat yang mahu menghalang negara kita daripada mencapai tahap industrialisasi dan kemajuan yang menyaingi mereka.

Sidang kemuncak Copenhagen hanya beberapa bulan sahaja lagi. Sudah pasti NGO alam sekitar, Amerika dan Eropah akan menggesa kerajaan kita menyokong perjanjian di sana nanti untuk menghadkan emisi karbon.

Jangan kita terperangkap dengan hipokrasi aktivis alam sekitar dan negara Barat yang mahu memperkenalkan pelbagai peraturan untuk menyekat industrialisasi dan menurunkan kadar perdagangan antarabangsa. Semua itu hanya akan merosakkan kepentingan pembangunan negara kita sendiri.

1 Comment

  • Johnson 2010 Mar 05 / 22:02

    First of all, why is IDEAS considered to be a think-tank when articles of these sort are being published. I believe your knowledge on climate change is rather limited as you might fail to understand the future cost of climate change. Developing countries would be affected most based on the amount of resources and wealth that we have compared. Yes, it may seem unfair for the west to impose restrictions as to growth but are you not part of the world that you think that we should continue polluting, encouraging wastages just because we should be ignorant?

    Yes, the idea of climate change might have been oversold and exaggerated but there should be sufficient scientific substance behind it. If you could explain to me why weather of late have been extremely unpredictable, excessive snow, longer dry seasons and etc; believing it is not linked to climate change, please do enlighten me.

    A think-tank should conduct researches and not an accusation or not bring up conspiracy theories intending to mislead and fool those who might be less informed.

    Thank you.

Leave a comment