Oleh Wan Saiful Wan Jan

27 Julai 2009

Sekiranya kita hanya berbicara mengenai persoalan ekonomi dan bukan hal-hal lain, maka saya memuji tindakan Dato Seri Najib menjadikan ekonomi negara kita lebih liberal. Walaupun ekonomi kita masih belum liberal sepenuhnya, beberapa langkah liberalisasi yang diusahakan oleh Perdana Menteri merupakan tindakan permulaan yang baik.

Proses liberalisasi pasaran di Malaysia sedang berlaku tatkala beberapa kuasa besar dunia menunjukan belang proteksionis mereka. Amerika di bawah Presiden Obama mewarwarkan polisi “Beli Barangan Amerika”. Negara-negara lain pula membalas dengan dasar perlindungan sempit masing-masing. China, Rusia, Australia, dan beberapa negara dalam Kesatuan Eropah kini semakin galak mahu melindungi industri domestik mereka.

Saya harap kerajaan memastikan polisi negara dalam hal ini adalah sekata. Tidak ada gunanya jika Perdana Menteri bersusah payah mempromosikan kebaikan pasaran yang liberal, tetapi menteri-menteri lain berkempen “Beli Barangan Malaysia”. Kempen sebegini berlawanan dengan semangat liberalisasi yang diwarwarkan oleh Perdana Menteri.

Agak menarik apabila beberapa orang pemimpin, Pakatan Rakyat, termasuk daripada PAS, menuduh agenda liberalisasi Najib merupakan bukti bahawa agenda Melayu semakin dilupakan. Mereka mahu kuota ekuiti Melayu sebanyak 30 peratus dikekalkan kerana penghapusan kuota tersebut boleh menggugat status Melayu di Malaysia. Nampaknya ada pemimpin Pakatan Rakyat yang mahu menjadi chauvinis Melayu lebih daripada UMNO. Mereka memilih untuk menjuarai agenda perkauman sempit, dan menolak prinsip-prinsip pasaran bebas dan adil yang didokongi oleh Islam. Kalau tidak pun chauvinis Melayu, mungkin akhlak sosialis mereka sudah mula mahu menonjol.

Malaysia Think Tank merupakan ahli Gabungan Mempertahankan Kebebasan Berdagang (www.freedomtotrade.org) yang dilancarkan pada awal April lalu di London, serentak dengan persidangan G20. Gabungan ini dianggotai oleh 71 pertubuhan daripada 48 negara. Melalui jaringan global ini, kami berusaha memberi kesedaran mengenai bahaya proteksionisme dan kebaikan sistem ekonomi liberal.

Rakan saya Alec van Gelder, koordinator Gabungan Mempertahankan Kebebasan Perdagangan, berkata bahawa “Proteksionisme merupakan satu yang tidak masuk akal. Ekonomi dunia kini adalah lebih bersepadu. Kita semua dapat mengecap nikmat daripada ekonomi liberal yang lebih terbuka”.

Mudah sahaja untuk kita fahami kenapa beliau berkata demikian. Mari kita ambil satu contoh sahaja betapa dasar perlindungan menyebabkan kesusahan rakyat, iaitu harga kereta di Malaysia.

Melalui satu tinjauan ringkas saya mendapati kereta Toyota Camry model baru boleh mencecah RM180,000 di Malaysia. Tetapi di Amerika Syarikat model yang kira-kira sama berharga sekitar RM90,000 sahaja. Harga di Malaysia hampir dua kali ganda harga di Amerika kerana cukai dan tarif yang dikenakan terhadap kereta buatan luar.

Harga kereta-kereta lain juga jauh lebih mahal di Malaysia berbanding di negara seperti United Kingdom. Sebab itulah ramai para pelajar PhD di United Kingdom yang membawa pulang Mercedes bersama-sama ijazah mereka. Apa tidaknya, harga Mercedes di sini ada yang lebih murah daripada Proton di Malaysia!

Cukai yang tinggi terhadap menyebabkan orang seperti saya hanya mampu bermimpi sahaja untuk membeli kereta sebegitu di Malaysia. Jika dikatakan polisi-polisi untuk melindungi industri tempatan adalah untuk kebaikan rakyat biasa, maka dengan satu contoh sahaja kita boleh melihat betapa alasan tersebut tidak masuk akal.

Hakikatnya, dasar proteksionisme hanya memberi faedah kepada segelintir kecil orang kaya di Malaysia kerana mereka mampu berbelanja besar. Kita yang tidak berkemampuan ini akan terus mengidam sahaja.

Bagi saya, dasar proteksionisme juga tiada asas moral. Bagaimana mungkin sesuatu dasar yang menyebabkan kenaikan harga berkali ganda, lantas menyusahkan dan menghilangkan kuasa beli rakyat, boleh dianggap sebagai bermoral? Pasti tidak.

Proses liberalisasi ekonomi yang diusahakan oleh Dato Seri Najib mempunyai asas moral yang lebih kuat kerana ia akhirnya membolehkan semua rakyat, termasuklah yang kurang berada, menikmati faedah daripada globalisasi. Saya harap Perdana Menteri tidak akan memberhentikan proses liberalisasi setakat ini sahaja.

Sebagai seorang Muslim pastilah kita akan merujuk kepada ajaran. Sistem pasaran liberal mempunyai asas moral yang kukuh dalam Islam.

Rasulullah dan Saidatina Khadijah merupakan ahli perniagaan yang berjaya dalam pasaran bebas pada masa itu. Kitab suci Al-Quran juga mengandungi pelbagai ayat yang menyentuh hal ehwal perdagangan.

Malahan, jika kita teliti sejarah perkembangan Islam, kita pasti mengakui peranan penting yang dimainkan oleh para pedagang dalam menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk bumi. Islam sampai ke Tanah Melayu melalui para pedagang yang bergerak dalam pasaran bebas dunia, bukan melalui bala tentera.

Malangnya, hubungan intim antara Islam dan pasaran bebas tidak begitu dihargai oleh dunia, termasuklah oleh umat Islam di Malaysia.

Di awal kurun ke-20, hubungan rapat beberapa negara Arab dengan Soviet Union menyebabkan sistem sosialisme mula meresapi Timur Tengah. Sehingga hari ini, masih banyak lagi negara Arab dan gerakan Islam yang ditubuhkan pada masa itu yang mewarisi sisa-sisa sistem sosialisme dalam mana kerajaan menguasai dan mengawal pergerakan ekonomi negara tersebut.

Perkembangan pemikiran sosialis di negara-negara Arab akhirnya merosakkan sistem pasaran terbuka yang diwarisi masyarakat Arab sejak zaman Rasulullah lagi.

Ahli-ahli ekonomi Islam sejak awal lagi menolak sistem ekonomi terancang. Sebaliknya, Islam lebih menggalakkan sistem pasaran yang tidak dipengaruhi kuasa politik. Rasululah acapkali mahukan harga sesuatu barangan atau komoditi ditentukan oleh kuasa pasaran.

Cendiakiawan Islam juga tidak menggalakkan kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan kerana ia boleh menggugat perjalan pasaran. Ibn Khaldun mengatakan bahawa “aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh kerajaan adalah merbahaya kepada rakyat dan boleh merosakkan pendapatan dan pentadbiran kewangan negara”.

Ibn Khaldun menjelaskan bahawa jika kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan, maka ada kemungkinan akan wujud sebuah monopoli yang akhirnya menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi. Contohnya, jika kerajaan memulakan sebuah kilang yang membuat peralatan tertentu, maka kerajaan akan mengenakan cukai tinggi terhadap barangan buatan kilang lain semata-mata untuk melindungi kepentingan mereka dalam syarikat kerajaan tersebut. Situasi sebegini akhirnya akan membebankan rakyat.

Kedatangan Islam ke muka bumi telah membawa satu asas moral bagi sebuah sistem ekonomi yang lebih liberal. Jika kita mahu menghayati sistem ekonomi yang diredhai, maka kita perlu memastikan proses liberalisasi ekonomi yang diusahakan oleh Dato Seri Najib diteruskan dengan lebih meluas sehingga negara kita benar-benar mengamalkan prinsip pasaran bebas dalam kerangka kerajaan yang terhad. Hanya itu sahaja langkah ke hadapan yang lebih bermoral.

——

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank (www.WauBebas.org). Artikel ini telah disiarkan dalam Malaysian Insider

Leave a comment