Oleh Wan Saiful Wan Jan

Sepanjang tiga minggu lepas saya melawat tujuh buah sekolah sekitar England. Lawatan tersebut adalah sebahagian daripada agenda kajian yang sedang saya jalankan mengenai bagaimana sekolah boleh menjana dana tambahan dengan menggunakan model keusahawanan sosial.

Saya amat kagum dengan sebuah sekolah yang saya lawati di Burnley, sebuah bandar kecil di utara England.

Burnley merupaan sebuah bandar yang boleh dikatakan agak miskin. Perlombongan arang batu dan sektor pembuatan pernah menjadi industri utama di situ. Tetapi apabila lombong arang batu terakhir ditutup pada tahun 1981, dan kilang tayar Michelin ditutup pada tahun 2002, ekonomi Burnley mula merudum. Sehingga kini situasi ekonomi Burnley belum pulih sepenuhnya.

Pada tahun 2001, berlaku rusuhan antara kaum di Burnley. Pelbagai faktor menyumbang kepada rusuhan tersebut. Kemiskinan dan situasi ekonomi yang tidak stabil menyemarakkan rasa dendam antara kaum. Ia juga menyebabkan gejala penyalahgunaan dadah serta kegiatan jenayah lain menjadi berleluasa. Akhirnya semua itu berakhir dengan rusuhan yang teruk.

Sehingga kini sikap perkauman masih lagi boleh dirasakan dalam politik setempat. Burnley mempunyai empat orang ahli majlis perbandaran daripada Parti Kebangsaan Britain (British National Party – BNP), sebuah parti nasionalis fasis yang memperjuangkan kepentingan rakyat kulit putih.

Sekolah yang saya lawati itu terletak beberapa minit sahaja daripada tempat berlakunya rusuhan tahun 2001.

Oleh kerana lokasinya yang sedemikian, maka sekolah itu dengan sendiri mengambil inisiatif untuk menjadi pemangkin kepada hubungan antara kaum yang lebih baik.

Semasa saya tiba di perkarangan sekolah itu, jelas kelihatan betapa bangunan dan persekitaran sekolah itu dibina dengan satu visi yang jelas untuk melaksanakan konsep pendidikan yang berintegrasi.

Dalam satu bangunan besar yang sama, atau dalam ‘kampus’ itu, terdapat empat buah sekolah, sebuah pusat keagamaan, dan sebuah perpustakaan awam. Sekolah tadika, sekolah untuk kanak-kanak istimewa, sekolah rendah, dan sekolah menengah untuk pelajar A-Level yang terletak di situ semuanya mempunyai pentadbiran dan guru besar sendiri.

Perpustakaan awam pula dimiliki oleh kerajaan tempatan dan dibuka kepada umum. Manakala pusat kegamaan pula dijalankan oleh sebuah pertubuhan sukarela dan turut menyediakan kemudahan untuk solat Jumaat.

Bagaimanapun, pembiayaan yang mereka perolehi daripada kerajaan tidak cukup untuk menjalankan kegiatan kemasyarakatan yang menyumbang ke arah perpaduan dan integrasi kerana itu merupakan kegiatan tambahan sahaja. Oleh kerana keempat-empat guru besar sekolah-sekolah yang beroperasi di kampus itu bertekad untuk tetap melaksanakan usaha tersebut, maka mereka berpakat untuk menubuhkan sebuah syarikat keusahawanan sosial.

Syarikat tersebut berdaftar dengan suruhanjaya syarikat dan kini mempunyai 23 orang pekerja. Guru-guru besar menjadi pengarah syarikat berkenaan.

Perniagaan utama syarikat keusahawanan sosial itu ialah menyewakan ruang dan kemudahan dalam kawasan sekolah untuk kegunaan penduduk tempatan, syarikat korporat, serta badan bukan kerajaan. Sebagai sebuah sekolah, mereka turut mempunyai padang dan kemudahan sukan yang bermutu tinggi yang juga mereka sewakan. Selain itu, mereka juga menjalankan kafeteria dan katering, serta perusahaan percetakan.

Dalam kata lain, syarikat keusahawanan sosial tersebut berfungsi sebagai sebuah perniagan pengurusan fasiliti yang menguruskan semua aktiviti perniagaan bagi pihak sekolah.

Perniagaan yang mereka jalankan begitu berjaya sehingga mereka menjangka pusing ganti tahun ini akan mencecah RM750,000, manakala keuntungan pula dijangka sekitar RM230,000.

Sebagai sebuah syarikat keusahawanan sosial, semua keuntungan yang dijana disalurkan kembali untuk mencapai matlamat sosial syarikat berkenaan, iaitu membiayai kegiatan kemasyarakatan dan perpaduan antara kaum.

Salah satu tanda kejayaan mereka ialah hari terbuka yang mereka jalankan pada awal tahun ini. Buat pertama kali dalam sejarah kawasan berkenaan, lebih daripada dua ribu orang penduduk pelbagai kaum dan agama menghadiri hari terbuka dan bergaul mesra antara satu sama lain. Syarikat keusahawanan sosial itu telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan antara kaum-kaum yang berbeza.

Kesungguhan para pentadbir sekolah-sekolah itu untuk menyumbang ke arah perpaduan di Burnley memang nyata sekali. Dan mereka bersungguh-sungguh menjana wang untuk membiayai usaha mereka, tanpa perlu mengharap peruntukan daripada kerajaan.

Apabila saya tanya kenapa mereka tidak memohon peruntukan kerajaan sahaja, salah seorang guru besar di situ menjawab bahawa dengan menjalankan sebuah syarikat tersendiri, mereka bebas membelanjakan wang yang dijana tanpa terikat dengan apa-apa agenda politik.

Perlu saya nyatakan di sini bahawa sekiranya mereka menjalankan kegiatan kemasyarakatan dengan menggunakan dana kerajaan, maka saya tidak akan terlalu kagum. Ramai orang lain yang boleh berbuat begitu.

Apa yang unik ialah kreativiti dan komitmen mereka sehingga sanggup menubuhkan sebuah syarikat, berusaha memaksima keuntungan, semata-mata untuk membiayai aktiviti sosial yang mereka mahu jalankan.

Bukan itu sahaja. Melalui syarikat keusahawanan sosial itu juga mereka mencipta peluang latihan kerjaya bagi para pelajar yang lebih dewasa. Para pelajar A-Level, atau sama dengan Tingkatan Enam di Malaysia, diberi peluang untuk bekerja sambilan di perpustakaan, pusat keagamaan, kafeteria, syarikat katering dan juga di kedai percekatan.

Di samping itu, para pelajar berkenaan juga diberi peluang untuk menjadi tenaga pekerja sambilan di tadika atau di sekolah kanak-kanak istimewa, sekiranya mereka berminat untuk menceburi bidang pendidikan. Ini membolehkan mereka merasai perit jerih menjadi seorang pendidik, serta membolehkan para pelajar itu menghargai sumbangan mulia guru-guru dalam pembentukan individu.

Semua ini boleh dilakukan di kampus sekolah itu kerana perancangan yang rapi sejak awal lagi. Pembinaan sekolah itu dirancang dengan teliti agar semuanya berada di bawah bumbung bangunan yang sama, dan pelbagai kemudahan di kongsi oleh semua sekolah.

Pengalaman melawat sekolah di Burnley ini memperkukuh keyakinan saya bahawa model keusahawanan sosial mempunyai potensi besar untuk negara kita. Jika di Burnley yang miskin itu pun para pentadbir sekolah biasa sahaja boleh memainkan peranan mereka, maka pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh kita di Malaysia jika kita betul-betul mahu mencapai matlamat 1Malaysia.

——

Pada waktu artikel ini ditulis, Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pengarah Malaysia Think Tank , bertugas di London. Artikel ini telah disiarkan dalam Utusan Malaysia

1 Comment

  • Immanuel Lim c/o Discern Publishing House 2010 Mar 11 / 12:44

    AN inspiring story indeed. What’s not possible when people stop having the “victim” mentality and start taking responsibiltiy of their own lives, their family’s future and the good of their community (I don’t mean racial or religious!), and country! 🙂

Leave a comment