Sistem pemerintahan Malaysia rapuh?
Program Advokasi Ilmuwan
Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz
Universiti Kebangsaan Malaysia
25 Ogos 2015

IMG_6773

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Toknda-toknda dan Ayahanda-ayahanda Yang MuliaTuan-tuan, puan-puan, mahasiswa dan mahasiswi

1. Saya amat berbesar hati untuk berada di UKM sekali lagi hari ini untuk menyampaikan ucaptama di majlis ini. Selama beberapa tahun saya telah mengambil bahagian dalam pelbagai acara di UKM – seperti bermain skuasy dan tenis dalam acara Raketlon bersama Menteri Belia dan Sukan ketika itu, menembak semasa majlis perasmian Wisma Kesatria, berucap di acara TEDxUKM (dan berlumba disekeliling kampus bersama pelumba negara Siti Shahkirah yang juga berucap pada hari itu) dan sudah tentulah, bermain piano di Konsert DiRaja selama lima tahun berturut-turut.

2. Tetapi majlis hari ini menyentuh satu persoalan yang mencabar. Adakah sistem pemerintahan di Malaysia kini rapuh? Sudah tentu ada satu sahaja jawapan yang selamat, iaitu “tidak”, ia tidak rapuh. Kerana jika jawapannya “ya”, maka implikasinya ialah institusi-institusi negara, terutamanya kerajaan telah gagal. Gagal untuk mewujudkan dan memperkukuhkan system pentadbiran yang berdaya tahan. Maka dalam rangka kebebasan akademik, tepatlah pilihan UKM dan Majlis Profesor Negara menyediakan sebuah platform pada hari ini untuk membincangkan topik yang bukan sahaja relevan pada hari ini, malah menyentuh juga tadbir urus negara silam dan juga di masa akan datang. Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur atas keberanian mereka, dan terima kasih kerana menjemput saya. Tahniah juga kepada RTM kerana memberi sokongan, mungkin sesuai untuk saya nyatakan bahawa Radio Klasik adalah sebuah stesen radio yang menghiburkan dan saya mendengarnya setiap kali dalam perjalanan pulang ke Seremban. Dan juga Utusan Malaysia, saya harap laporan anda tentang ucapan saya hari ini – jika ada – akan lebih tepat berbanding laporan sebelum ini.

Sidang hadirin sekalian:

3. Topik yang kita bicarakan hari ini mempunyai unsur sejarah yang nyata. Untuk memahami intitusi-institusi yang wujud hari ini, kita mesti bertanya bagaimana ia mula-mula wujud dulu. Kebanyakan negeri yang menjadikan Malaysia hari ini masing-masing mempunyai sejarahnya sendiri. Setiap satu memberi sumbangan kepada persekutuan Malaysia yang kita lihat sekarang. Di antara episod sejarah penting termasuklah Raja Kedah yang beragama Hindu memeluk agama Islam pada tahun 1136, inskripsi piagam yang diukirkan pada Batu Bersurat Terengganu pada tahun 1303, pembentukan Negeri Sembilan pada tahun 1773, pengeluaran Pulau Pinang oleh
Sultan Kedah pada tahun 1786, pembunuhan JWW Birch pada tahun 1875, Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan Merdeka pada tahun 1957. Perlu juga kita teliti sejarah khusus Borneo Utara dan Sarawak dan Singapura yang mana telah membentuk tiga entiti lain negara kita pada masa itu.

4. Tetapi konsep sesebuah negara itu dengan ketara sekali telah berubah dengan masa. Hari ini anakanak muda tidak tahu pun tentang perkataan “negeri” dan “negara” pernah digunakan bertukarganti – sebab mengapa Perak mempunyai Dewan Negara, manakala ada pula Kementerian Dalam Negeri, atau mengapa P Ramlee menyanyikan lagu tentang “ibu negeri Malaysia”. Nyata sekali konsep itu berevolusi, dan definisi kerajaan itu sendiri telah berubah, seperti makna konsep “daulat” telah berevolusi kepada konsep “kedaulatan”. Konsep daulat itu teraplikasi semasa kita mengamalkan konsep bahawa Raja itu adalah negara, seperti yang pernah difahami Ancien Régime
Perancis: L’Etat c’est moi.

5. Tetapi dengan bertambahnya hubungan dengan kuasa Eropah – khususnya perhubungan perjanjian dengan British – pemahaman pasca-Westphalia tentang konsep “kedaulatan” mula diamalkan di sini dan diseluruh dunia. Maka dengan itu kefahaman lama bahawa sebuah kerajaan terbentuk hanya dengan hadirnya seorang raja, telah bertuka kepada persetujuan umum bahawa kerajaan juga memerlukan sempadan, perlembagaan dan institusi. Ini menjelaskan mengapa Sultan Johor, Sultan Abu Bakar yang merupakan seorang pengembara berpandangan luas, telah mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor pada tahun 1895, dan mengapa Sultan Zainal Abidin III melakukan yang sama untuk Terengganu pada tahun 1911. Inilah mengapa para orientalis British amat tertarik dengan Negeri Sembilan – kerana dengan sistem politik-sosial mereka yang kuat dan terikat dengan adat, yang mereka samakan dengan kedaulatan undangundang, perpisahan kuasa dan persekutuan.

6. Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki sekarang ditulis dalam konteks naratif tersebut. Sejak Merdeka dan Hari Malaysia lagi, dokumen inilah yang menjadi tunggak utama, menggariskan asas bagi institusi utama yang menggerakkan negara, seperti kedaulatan undang-undang, Yang diPertuan Agong, Majlis Raja-Raja, jemaah menteri, badan perundangan Dewan Negara, Dewan Ra’ayat dan pilihanraya untuk memilih wakil rakyat, badan perhakiman, pelbagai suruhanjaya, dan kebebasan asasi kita.

7. Walaupun begitu, seolah-olah di kalangan kita, terdapat pelbagai tafsiran tentang Perlembagaan – terutamanya beberapa Artikel tertentu. Saya yakin, setiap individu dalam dewan ini pasti mempunyai kefahaman mereka sendiri. Dan jika rakyat terus mempunyai tafsiran yang terlalu berbeza, ini pasti, akan membawa kepada pertelagahan.

8. Kerana itulah, bagi saya, kita perlu memahami kemerdekaan bedasarkan konteks sejarah, dan juga perlu memahami visi tokoh-tokoh dan Bapa Negara serta visi mereka yang menulis perlembagaan kita. Kita bertuah kerana Tunku Abdul Rahman adalah seorang penulis dan penceramah prolifik, dan ini membolehkan kita memahami hasrat Almarhum Tunku dengan membaca karya dan dengar rakaman ucapan beliau. Izinkan saya memberikan beberapa contoh.

9. Mengenai konsep Kedaulatan Undang-Undang, beliau berkata: “Jika ahli-ahli parti tidak menghiraukan perlembagaan dan undang-undang, maka janganlah mereka harapkan yang terbaik dari orang lain.” Dalam isu tadbir urus, beliau menulis: “Rakyat mempunyai hak mutlak untuk menuntut kerajaan dan Ahli Parlimen yang mereka pilih, dan pegawai-pegawai perkhidmatan awam yang gajinya dibayar oleh mereka, menghormati kewajipan mereka terhadap semua rakyat Malaysia”. Mengenai sistem ekonomi terbuka, beliau berkata: “Ada segelintir masyarakat yang mahukan kerajaan memiliki perniagaan dan menguasai industri. Tetapi selagi parti Perikatan kekal berkuasa, kita tidak akan melakukan begitu kerana kita tidak percaya langkah itu baik untuk negara”. Dan apabila berbicara mengenai pencerobohan atas kebebasan individu, beliau mengeluh:

“Dahulu kita tidak menjaga tepi kain orang dan rakyat bebas untuk lakukan apa yang mereka mahu. Tetapi hari ini kalau bersin pun ada orang tegur, apatah lagi kalau mahu bersuka ria. Itulah kesan politik kepada masyarakat kita.” Dan ada banyak lagi petikan kata-kata hikmah beliau yang telah kami kumpulkan dalam satu makalah yang boleh diperolehi di laman web IDEAS.

10. Sudah pastilah negara kita sudah banyak berubah sejak Merdeka. Peristiwa-peristiwa seperti Darurat dan Konfrontasi, perubahan teknologi, perubahan demografi, dan evolusi kefahaman sosial, budaya dan agama, semuanya memberi kesan kepada perubahan dalam dasar-dasar negara. Maka lahirlah ekspresi baru seperti Rukunegara, Wawasan 2020, Islam Hadhari dan 1 Malaysia. Namun, apa yang terhasil adalah kini nampaknya semakin sukar untuk kita mengenalpasti kesefahaman fikrah, kesedaran sejarah yang dikongsi dan kebersamaan dalam mencaturkan masa depan tanah air.

11. Pada masa yang sama, negara kita mencatat pencapaian yang becampur-campur dalam beberapa indeks antarabangsa. Malaysia menduduki tempat ke-65 dalam Indeks Demokrasi yang dikeluarkan oleh The Economist Intelligence Unit, tempat ke-27 dalam International Property Rights Index, dikategorikan sebagai “separa bebas” dalam Index of Economic Freedom, tempat ke- 50 dalam Indeks Persepsi rasuah keluaran Transparency International, dan tempat ke-46 di dalam Social Progress Index. Manakala dalam Islamicity Index yang dihasilkan oleh beberapa professor di George Washington University, Malaysia menduduki tempat tertinggi di kalangan negara-negara OIC iaitu di tangga ke-33.

12. Tetapi indeks antarabangsa ini mungkin tidak cukup mencapah untuk merekodkan hubungan antara institusi-institusi dalam negara, terutamanya yang direka untuk mengimbangi satu sama lain . Contohnya, kita boleh memuji Ketua Audit Negara apabila saban tahun beliau mendedahkan pembaziran dan ke-tidak-cekapan perbelanjaan dalam jabatan kerajaan. Tetapi kemudian apa yang berlaku? Apa langkah yang diambil oleh institusi lain bagi memastikan pembaziran seperti itu tidak berulang lagi?

Tuan-tuan dan puan puan,

13. Terdapat juga institusi-institusi yang amat memerlukan kebebasan. Dalam Syarahan Tunku Abdul Rahman yang ke-11 pada tahun 1984, Raja Azlan Shah, Ketua Hakim Negara ketika itu, berkata “Peraturan yang melibatkan kebebasan badan kehakiman direka untuk menjamin kebebasan daripada tekanan luaran dan bebas daripada semua kuasa kecuali kuasa undang-undang itu sendiri. Peraturan-peraturan itu penting bagi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara.” Kata-kata ini menunjukkan betapa pentingnya kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, pentingnya pengasingan kuasa secara umum. Inilah penzahiran konsep bahawa institusi kita mendapat sumber kuasa mereka terus daripada Perlembagaan itu sendiri, menerusi Yang di-Pertuan Agong, dan berfungsi secara berasingan antara satu sama lain.

14. Penting juga untuk kita fahami satu lagi konsep dalam perlembagaan kita, dan juga dalam Perjanjian Malaysia, iaitu konsep persekutuan atau federalisme. Marilah kita fikirkan secara ikhlas. Sejauh manakah hak-hak negeri dihormati oleh mereka yang duduk di Putrajaya dan sejauh manakah negeri-negeri itu mempertahankan hak-hak mereka? Yang pasti, telah berlaku dalam beberapa situasi negara ini menjadi seolah-olah sebuah negara unitari dan bukan sebuah persekutuan. Hari ini kita mendengar tuntutan kemerdekaan dari suara-suara kecil di Sabah dan Sarawak dan di Semenanjung pun sudah ada suara yang mahukan lebih autonomi. Mungkin sesetengah pihak sukar mempercayai bahawa devolusi kuasa sebenarya boleh membawa kepada perpaduan yang lebih kuat. Tetapi jika kita telusuri sejarah persekutuan kita, maka itulah hakikatnya.

15. Banyak daripada apa yang saya katakan setakat ini memberi penekanan kepada niat asal orang sebelum kita. Tapi walau sekalipun tuan-tuan tidak bersetuju dengan pandangan saya bahawa sesebuah negara itu didefinisikan oleh naratif sejarah institusinya, saya yakin tuan-tuan akan bersetuju bahawa usaha memperbaiki sebarang kelemahan tetap memerlukan masyarakat sivil yang aktif dan media yang bebas agar kita boleh mengukur tahap keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi dalam negara. Kajian dan laporan yang tepat boleh memberi kredibiliti terhadap perbualan harian di kedai-kedai mamak, asrama universiti malahan di padang golf. Dengan alatalat itulah kita boleh mengukur sama ada sistem pemerintahan kita rapuh atau tidak.

16. Dalam membicarakan soal kerapuhan ini, saya mencadangkan bahawa prasyaratnya ialah kita mesti mempunyai satu konsensus apa sebenarnya matlamat nasional kita. Inilah sebab kenapa kita menubuhkan institusi-institusi penting dalam negara pada tahun 1957 dan 1963. Mungkin akan ada orang yang berkata bahawa wawasan mereka untuk Malaysia tidak sama dengan wawasan mereka yang menubuhkan negara ini. Mungkin juga majoriti rakyat tidak lagi berpegang dengan niat asal tersebut. Mereka mungkin mahukan negara ini menjadi negara sosialis atau sebuah negara teokratik, dan bukan sebuah negara demokrasi. Saya tidak yakin perlembagaan kita boleh memberi ruang kepada mimpi mereka. Jika majoriti rakyat bersetuju dengan pandangan mereka, maka nampaknya projek Bapa-Bapa Negara kita telah gagal.

17. Tapi hari ini, katakanlah majoriti rakyat masih lagi percaya kepada kerangka Perlembagaan, masih lagi mahu percaya dengan kebijaksanaan Almarhum Tunku Abdul Rahman. Dalam situasi ini, wajib untuk usahakan agar semangat asal itu dihidupkan semula. Kita perlu pastikan institusi-institusi pengajian mengajar sejarah dengan baik, khususnya naratif institusi kita, dan juga prinsip-prinsip yang mendorong pemimpin kita yang terdahulu. Ada beberapa pusat pengajian kita yang sebenarnya merupakan institusi sejarah yang tersendiri, tetapi saya khuatir ingatan mereka akan hilang akibat campur tangan penguasa yang lebih berfikirkan mengenai kepentingan politik.

18. Memang benar bahawa nilai-nilai dan semangat Merdeka itu sebenarnya mencakupi jauh lebih luas daripada pusat-pusat pengajian sahaja. Nilai-nilai ini boleh dizahirkan dalam kehidupan sivik mahupun kehidupan profesional seluruh rakyat. Jika ini berlaku, barulah nilai-nilai itu akan menjadi nilai yang dikongsi, dan tidak menjadi momokan seperti “wasatiyah” dan “tolak ansur” yang diselitkan dalam ucapan besar sahaja, tanpa diamalkan dalam dasar dan praktik.

19. Pada waktu yang sama, kita harus terus mempertingkat prestasi dan akauntabiliti institusi-institusi kita. Contohnya, salah satu projek kami di IDEAS yang sedang dilaksanakan sekarang ialah pengukuhan usaha-usaha pencegahan-rasuah dengan sokongan daripada Majlis Peguam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan beberapa NGO lain. Salah satu cadangan ialah menaik taraf SPRM menjadi Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah yang diiktiraf oleh perlembagaan, sama tarafnya dengan Suruhanjaya Pilihanraya. Kami mencadangkan agar suruhanjaya baru ini, di-kepala-i oleh para pesuruhjaya yang dipilih oleh parlimen, dan mereka berkuasa melantik
pegawai mereka sendiri, bebas daripada kuasa eksekutif. Terdapat juga usaha lain, seperti langkah untuk mengkaji pen-danaan politik, yang sedang diusahakan oleh pelbagai pihak.

20. Proses penyembuhan negara memerlukan satu lagi komponen: kepimpinan. Di IDEAS kami cuba untuk mengenalpasti dan membantu mempertingkat kebolehan ahli-ahli politik dan birokrat yang kami percaya mendapat inspirasi daripada semangat Merdeka. Tetapi ia bukanlah mudah. Lambat laun, kepimpinan yang terbaik pun mungkin akan jatuh. Maka adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk sentiasa berwaspada dalam memastikan mereka yang berkhidmat dalam institusi pentadbiran sentiasa menghayati semangat sebenar Perlembagaan. Untuk
menjayakan hal ini, masyarakat sivil, universiti dan media perlu menjadi pemain yang aktif dalam menuntut akauntabiliti daripada mereka yang berkuasa.

Sidang hadirin,

21. Saya ingin akhiri dengan memetik kata-kata Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong yang pertama, ketika Baginda memberi titah ucapan di dalam persidangan Dewan Rakyat yang pertama pada 12 September 1959. Baginda bertitah: “Perlembagaan ini, unik dari pelbagai sudut, ialah satu deklarasi menyeluruh tentang tugas dan tanggungjawab, kuasa dan hak prerogatif, yang memberi impak kepada semua organ pentadbiran dan seluruh warga rakyat jelata… Perlembagaan ini adalah milik kita semua… Beta harap semua rakyat di hari yang
bersejarah ini mengetahui dan memahami bahawasanya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, piagam hak dan kebebasan kita, kini, akhirnya, dan sepenuhnya, telah beroperasi dengan penubuhan Parlimen ini di bawah Perlembagaan, maka satu era baru telah bermula untuk negara kita.”

22. Jelas sekali, Toknda Nyang saya merasakan bahawa Parlimen ialah satu institusi khusus yang amat penting, yang memasukkan maksud perlembagaan dalam kata-kata hikmah, “Raja dan Ra’ayat berpisah tiada”. Bagi saya, dalam konteks kita pada hari ini, amat penting untuk kita kembali semula kepada institusi tersebut untuk memastikan sistem pemerintahan kita tidak rapuh. Terima kasih, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

IMG_6803

1 Comment

  • RAJA RAZMAN BIN RAJA ABU BAKAR 2015 Aug 27 / 12:34

    TAHNIAH DI ATAS TITAH UCAPAN TUANKU YANG BERNAS !

    ‘DAULAT TUANKU’

    WASSALAM

Leave a comment