Oleh Wan Saiful Wan Jan (Utusan Malaysia, 4 Februari 2010)

 

SAYA kini berada di Taipei menghadiri mesyuarat pegawai eksekutif Gabungan Demokrat Antarabangsa (International Democrat Union). Mesyuarat badan yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Australia ini menyatukan parti-parti politik sedunia yang beraliran kanan pertengahan.

 

Oleh kerana Malaysia belum ada parti yang memenuhi kriteria tersebut, maka saya dijemput untuk menghadirinya atas tiket badan pemikir yang sealiran. Saya diminta membuat sedikit pembentangan mengenai Malaysia berdasarkan perspektif kanan pertengahan.

Walaupun jadual agak ketat, kepala saya tidak lari daripada memikirkan tarikh keramat 8 Februari yang akan tiba beberapa hari saja lagi. Tarikh ini perlu kita raikan.

Pada 8 Februari 1903 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah diputerakan di Istana Pelamin, Alor Setar, Kedah. Isnin yang akan datang ini ialah ulang tahun keputeraan Almarhum Tunku yang ke 107.

Almarhum Tunku merupakan anak kedua puluh Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Bonda Tunku ialah Che Menjalara, anak kepada Luang Nara Borirak dari Thailand.

Almarhum Tunku mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Setar sebelum ke Sekolah Inggeris Kerajaan (kini Kolej Sultan Abdul Hamid). Kemudian Tunku berhijrah ke Bangkok untuk belajar di Sekolah Debsurin, sebelum kembali ke tanah air untuk bersekolah di Penang Free School.

Pada tahun 1920 Tunku merantau pula ke England. Hasil pengajian di Universiti Cambridge, Tunku mendapat ijazah sarjana muda pada tahun 1925. Tunku kembali ke tanah air tidak lama selepas itu, tetapi kembali semula ke England pada pertengahan 1940-an untuk menamatkan pengajian dan latihan dalam bidang undang-undang sehinggalah mendapat kelulusan sepenuhnya pada tahun 1949.

Bapa Kemerdekaan negara kita merupakan seorang tokoh yang tidak ada tolok bandingnya. Tunku tidak rela melihat negara kita terus dijajah. Untuk memastikan kita mencapai kemerdekaan Tunku memulakan rundingan dengan British sehinggalah kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957.

Pemasyhuran Kemerdekaan negara kita merupakan satu dokumen penting yang menggariskan asas lahirnya sebuah negara baru pada 31 Ogos 1957 bernama Persekutuan Tanah Melayu. Dokumen ini mengandungi satu visi Tunku yang perlu sentiasa diingati oleh seluruh rakyat tidak kira bangsa negara ini.

Dalam Pemasyhuran Kemerdekaan, di perenggan terakhir, Almarhum Tunku dengan tegas mengisytiharkan bahawa negara kita “akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyat dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Visi dan wawasan Tunku yang dirakam dalam Pemasyhuran Kemerdekaan ini menjadi sumber inspirasi kepada kami.

Untuk menjalankan pengkajian dan pendidikan yang berterusan demi memastikan visi Tunku direalisasikan dalam negara kita, maka kami memilih hari Isnin 8 Februari 2010 sebagai tarikh untuk melancarkan secara rasmi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Institute for Democracy and Economic Affairs, IDEAS).

IDEAS akan mengambil alih kerja-kerja awal yang telah dimulakan oleh Malaysia Think Tank sebelum ini.

Insya-Allah dengan bantuan yang amat berharga daripada Arkib Negara, majlis pelancaran IDEAS akan berlangsung di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur. Ahli keluarga Almarhum Tunku daripada tiga generasi telah dijemput untuk bersama-sama dalam majlis ini. YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, selaku Presiden dan salah seorang pengasas IDEAS, akan memberi ucap utama.

Falsafah penubuhan IDEAS adalah selaras dengan wawasan Almarhum Tunku yang mahukan negara kita terus kekal sebagai sebuah “negara yang merdeka dan berdaulat” berteraskan prinsip-prinsip “kebebasan dan keadilan”.

Ada empat konsep yang memacu agenda kerja IDEAS, iaitu kedaulatan undang-undang, kerajaan terhad, ekonomi pasaran dan individu merdeka.

Jika kita teliti, falsafah dan konsep-konsep ini bukanlah asing bagi negara kita. Sebaliknya semuanya telah dimulakan oleh masyarakat Tanah Melayu sejak era Batu Bersurat Terengganu lagi, dan kemudiannya dicerakinkan dengan amat komprehensif oleh Tunku Abdul Rahman dalam Pemasyhuran Kemerdekaan.

Sebagai sebuah badan pengkaji bebas yang mempunyai prinsip-prinsip jelas sebagai pegangan, IDEAS merupakan sebuah badan yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Badan penasihat IDEAS menggabungkan pemimpin-pemimpin enam parti politik daripada Barisan Nasional (UMNO, MCA, Gerakan) dan Pakatan Rakyat (PKR, DAP, Pas). IDEAS juga sedang berusaha menjemput pemimpin parti-parti politik Sabah dan Sarawak untuk menyertai badan penasihatnya.

Kebebasan daripada ikatan politik kepartian merupakan satu kekuatan bagi IDEAS. IDEAS beriltizam untuk menjalankan kajian, memberikan pandangan, dan melaksanakan usaha pendidikan mengenai hal ehwal polisi negara berdasarkan prinsip-prinsip yang dipegangnya, tanpa mengira kepentingan politik mana-mana pihak.

Pelbagai aktiviti telah diaturkan bagi tahun pertama ini. IDEAS akan menjalankan siri latihan untuk pemimpin politik peringkat negeri di seluruh negara untuk membantu mereka memahami perlembagaan negara dengan lebih mendalam.

IDEAS juga sedang mengusahakan satu kajian mendalam mengenai bagaimana mekanisme pasaran boleh membantu usaha menambah baik sekolah-sekolah kita menjadi sekolah bertaraf dunia.

Selain itu, IDEAS akan mengusahakan pelbagai aktiviti kajian dan penerbitan untuk menjelaskan bagaimana prinsip-prinsip yang kami pegang boleh diaplikasi dalam usaha mentransformasi negara.

Sebagai sebuah badan pengkaji yang baru bermula, saya sedar liku-liku yang akan dihadapi oleh IDEAS sudah pasti tidak mudah. Tetapi, sebagai hadiah kecil kami pada hari keputeraan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman, saya harap usaha kami akan berjaya. Doakan kami!

Leave a comment