Kenyataan Akhbar: Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam Open Budget Survey 2015. (Tetapi masih di belakang Papua New Guinea dan Indonesia)

10 September 2015, Kuala Lumpur – Open Budget Survey merupakan sebuah kaji selidik antarabangsa yang menilai ketelusan dan akauntabiliti dalam belanjawan kerajaan serta ruang untuk penyertaan orang awam dalam penghasilannya. Kaji selidik ini juga menilai keutuhan institusi audit dan institusi perundangan dalam penyeliaan belanjawan. Kaji selidik ini melibatkan 102 buah negara dan ia menggunakan kriteria antarabangsa yang dihasilkan oleh organisasi seperti International Monetary Fund (IMF), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), dan International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI).

Secara keseluruhan, proses kaji selidik antarabangsa ini mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan iaitu di antara Mac 2014 hingga September 2015. Seramai 300 orang pakar dari 102 negara telah terlibat dalam kajian ini. Di Malaysia, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) merupakan badan yang melakukan kajian tersebut.

Sebanyak tiga kategori yang menjadi ukuran: ketelusan belanjawan, penyertaan awam,
dan penyelian belanjawan oleh audit negara dan parlimen.

Hasil kajian rasmi tersebut telah dikeluarkan oleh IDEAS pada hari ini.

Tahun ini, Malaysia telah mendapat markah yang tertinggi dalam kategori penyeliaan belanjawan, terutamanya dalam penyeliaan yang telah dijalankan oleh Ketua Audit Negara. Dengan markah 67/100, keputusan ini menunjukkan bahawa Jabatan Audit Negara telah menjalankan tugasannya dengan memuaskan dan mengikut taraf antarabangsa.

Namun begitu, Malaysia mendapat markah yang amat rendah dalam kategori penyeliaan belanjawan oleh parlimen, iaitu hanya 15/100. Ini menunjukan bahawa penyelian belanjawan oleh parlimen di Malaysia amat lemah.

Markah yang diperoleh Malaysia untuk ketelusan belanjawan ialah 46/100, satu peningkatan daripada 39/100 yang diperoleh pada tahun 2012. Walau bagaimanapun, markah terkini tersebut masih lagi agak rendah dan ia bermakna bahawa Kerajaan Malaysia hanya memberikan maklumat yang terhad kepada orang awam.

Malaysia mendapat markah yang lebih teruk untuk kategori penyertaan awam dengan markah hanya 12/100. Kerajaan Malaysia dianggap lemah dalam memberikan peluang kepada orang awam untuk melibatkan diri dalam proses penghasilan belanjawan.

Mengulas mengenai markah yang diperolehi oleh Malaysia, CEO IDEAS, Wan Saiful Wan Jan berkata: “Ini merupakan keputusan yang agak bercampur-campur. Kita telah memperbaiki markah dalam kategori ketelusan belanjawan dengan peningkatan sebanyak tujuh markah dan kita juga telah memperolehi keputusan yang baik dalam penyeliaan oleh Jabatan Audit Negara. Namun, markah yang diperolehi untuk kategori lain amat rendah. Peningkatan bagi markah ketelusan mungkin boleh memuaskan pihak kerajaan, tetapi peningkatan sebanyak tujuh markah bukanlah sesuatu yang boleh
dianggap cemerlang. Masih terdapat banyak langkah ketelusan yang perlu diambil oleh Kerajaan jika kita ingin menjadi lebih baik.

Wan Saiful menambah: “Saya risau, terutamanya memandangkan kita mendapat markah yang amat rendah dalam kategori penyertaan awam dan penyeliaan oleh parlimen. Papua New Guinea memperoleh markah yang lebih baik daripada kita dalam kedua-dua kategori tersebut. Markah ini menunjukan bahawa ahli parlimen kita tidak mempunyai peluang untuk menentukan bagaimana wang hasil kutipan cukai dibelanjakan, meskipun Ucapan Belanjawan merupakan sebuah acara penting dalam kalendar parlimen. Markah yang diperoleh Malaysia agak teruk terutamanya dalam kategori penyertaan awam, di mana kita hanya berjaya mendapat markah 12/100, hanya lebih dua markah daripada Timor Leste dan separuh daripada markah yang telah diperolehi Papua New Guinea.”

Demi memperbaiki kedudukan dan markah kita, Wan Saiful mencadangkan: “Kita mesti memperbaiki prestasi kita agar orang awam akan lebih mempercayai proses pembelanjawan. Kami telah menggariskan sembilan cadangan yang boleh menjadi pemangkin perubahan. Sebagai contoh, Kerajaan harus menghasilkan kenyataan prabelanjawan dan komentar untuk setiap pertengahan tahun. Kerajaan juga harus mengadakan mesyuarat perundangan mengenai belanjawan bagi setiap kementerian, jabatan dan agensi, di mana keterangan orang awam boleh diperoleh. Selain itu, Parlimen harus membentuk sebuah jabatan kajian belanjawan yang memberi perkhidmatan kepada ahli-ahli parlimen. Ini hanya merupakan beberapa langkah yang wajar diambil oleh pihak Kerajaan dan saya yakin jika langkah-langkah ini diambil, prestasi kita akan bertambah baik.”

###

Mengenai IDEAS

IDEAS adalah badan pemikir pertama di Malaysia yang mempromosikan penyelesaian berasaskan pasaran untuk cabaran dasar awam. Kami adalah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik,bangsa atau agama.

Misi kami adalah untuk meningkatkan tahap kefahaman dan penerimaan terhadap dasar-dasar awam yang berasaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang, kerajaan terhad, pasaran bebas dan kebebasan individu. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://ideas.org.my/

###

Pertanyaan Media:
IDEAS (+60-3) 6201 8896/ 8897
Sri Murniati, unie@ideas.org.my

Leave a comment