The Malaysian Insider 19 September 2015

Kumpulan Islam berhaluan kanan dan kiri kedua-duanya bersetuju, liberalisme boleh berjalan seiringan dalam harmoni dengan Islam, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berterusan mengatakan liberalisme merupakan satu ancaman kepada agama itu dan penganutnya di Malaysia.

Bercakap pada satu forum hari ini, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, selagi liberalisme tidak menuntut Islam melakukan pembaharuan ke atasnya, maka ia tidak seharusnya mendatangkan masalah.

“Bolehkah kepercayaan dan liberalisme wujud seiringan? Kalau kita rujuk kepada Islam, liberalisme boleh sama-sama wujud sekiranya ia di bawah sistem Islam,” kata Abdullah, salah seorang ahli panel diskusi bertajuk “Liberalism and faith: Do they go hand-in-hand?” (Liberalisme dan kepercayaan: Adakah ia seiringan?) anjuran Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

“Tetapi sekiranya liberalisme cuba untuk memperbaharui Islam, mungkin itu tidak boleh diterima oleh Islam kerana agama ini datang daripada Allah dan tidak boleh ditambah atau diperbaharui mana-mana pihak.”
Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berucap pada forum mengenai liberalisme di Kuala Lumpur hari ini. Beliau berkata, liberalisme tidak menentang Islam, tetapi ia ‘wajah autoritarian agama’. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 19 September, 2015.Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berucap pada forum mengenai liberalisme di Kuala Lumpur hari ini. Beliau berkata, liberalisme tidak menentang Islam, tetapi ia ‘wajah autoritarian agama’. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 19 September, 2015.

Seorang lagi anggota panel, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa daripada Islamic Renaissance Front (IRF) berkata, liberalisme tidak menentang Islam, tetapi ia “wajah autoritarian agama”.
“Perjanjian yang luas dengan liberalisme politik adalah jelas – kerajaan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam isu metafizik,” kata Farouk.

“Kita sedang menghadapi wajah autoritarian agama yang percaya mereka mempunyai hak menentukan siapa Islam dan siapa bukan, bagaimana wajah Islam sebenar dan bagaimana bukan.

“Sebab itu liberalisme adalah penting,” katanya.

Katanya, mempromosikan liberalisme tidak bermakna mempengaruhi orang lain untuk menjadi agnostik atau ateis kerana konsep itu sendiri tidak selari dengan kehendak agama.

Liberalisme politik merangkumi pengiktirafan, sekatan dan hormat kepada kebebasan individu, katanya.

Abdullah berkata liberalisme hanya boleh menjejaskan keimanan umat Islam jika ia mengkehendaki mereka untuk menolak Allah.

“Dalam Islam, kita percaya Allah mencipta kita, kita percaya kepada undang-undang dan ayatNya. Kalau kita tolak peranan Allah, maka ia boleh menjejaskan kepercayaan dan iman kita.”

Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Dr Maszlee Malik yang bertindak sebagai moderator forum itu berkata, liberalisme menyumbangkan beberapa perkara penting kepada masyarakat Islam yang kini tiada lagi dalam sejarah: menghapuskan perhambaan, pasaran bebas dan demokrasi perwakilan.

“Umat Islam terhutang budi kepada liberalisme. Tiada alasan untuk mengatakan liberalisme bertentangan dengan nilai-nilai Islam,” katanya.

Seorang lagi ahli panel Dr Patricia Martinez, ahli jawatankuasa eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia, mengingatkan hadirin yang liberalisme membuatkan masyarakat Islam minoriti boleh terus mengamalkan agama mereka.

“Adakah liberalisme dan agama berjalan seiring? Ya, kerana jika kita tidak memburuk-burukkan liberalisme, jika kita mengambil definisi Farouk itu, ia menyediakan ruang bagi manusia untuk mempunyai kebebasan beragama.

“Bagi orang Islam di luar negara, yang merupakan golongan minoriti, ia berikan mereka kebebasan untuk mengamalkan Islam,” katanya.

Najib sering memberi amaran kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam mengenai humanisme, sekularisme dan liberalisme, mengatakan semua itu akan merosakkan identiti Islam.

Terbaru, perdana menteri memetik kes seorang pelajar Malaysia yang didapati bersalah memiliki bahan pornografi kanak-kanak di United Kingdom sebagai contoh liberalisme dan bahaya yang dibawanya. – 19 September, 2015.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/liberalisme-dan-islam-boleh-seiring-kata-isma-irf#sthash.6LS1VheA.dpuf

Leave a comment