Oleh Wan Saiful Wan Jan

Membasmi kemiskinan merupakan salah satu matlamat penting negara. Rancangan Malaysia ke-9 menyatakan betapa kerajaan mahu menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar dalam negara, dan menurunkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus sahaja menjelang 2010. Ini merupakan satu matlamat yang mencabar. Maka tidak pelik jika jumlah wang yang diperuntukan juga tinggi, iaitu RM11.5bn, untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Salah satu perkara paling penting dalam pembasmian kemiskinan ialah memastikan negara kita mempunyai sistem yang terbaik untuk menjaga dan memelihara hak pemilikan harta (property rights), baik harta fizikal mahupun harta intelektual.

Dalam satu kajian antarabangsa yang turut disertai oleh Malaysia Think Tank, kami mendapati bahawa terdapat hubungan langsung antara kualiti sistem perlindungan pemilikan harta dan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Kajian tersebut yang bertajuk ‘International Property Rights Index (IPRI) 2009’ telah dilancarkan baru-baru ini serentak di seluruh dunia, termasuk di Kuala Lumpur.

IPRI 2009 telah mengkaji status perlindungan pemilikan harta di 115 negara yang merangkumi 96 peratus KDNK dunia. Malaysia mendapat tempat ke-36 dalam IPRI 2009. Kita jatuh 5 anak tangga tahun ini kerana pada tahun lepas kita menduduki tangga ke-31

Jika dibandingkan dengan lima negara ASEAN lain yang turut serta dalam IPRI 2009, pencapaian kita agak baik. Kita menduduki tempat ke-dua selepas Singapura. Thailand di tempat ke-tiga, diikuti oleh Filipina, Vietnam dan Indonesia.

IPRI 2009 ialah indeks komposit yang menggabungkan tiga topik penting dalam hak pemilikan iaitu sistem perundangan dan politik, perlindungan pemilikan harta fizikal, serta perlindungan harta intelektual.

Pencapaian negara kita kali ini agak baik dalam bidang perlindungan pemilikan harta fizikal. Tetapi masih ada ruang yang perlu diperbaiki dalam bidang perundangan dan politik serta perlindungan harta intelektual.

IPRI 2009 mendapati bahawa jika hak pemilikan harta dilindungi dengan baik maka ekonomi negara juga akan berkembang. Di kalangan 115 negara yang turut serta dalam IPRI 2009, kuartil teratas mempunyai purata KDNK per kapita sebanyak USD$39,991 manakala negara-negara di kuartil terbawah hanya mempunyai KDNK per kapita sebanyak USD$4,891 sahaja. Sementara itu purata KDNK per kapita bagi kuartil kedua dan kuartil ketiga ialah USD$23,982 dan USD$11,748. Penemuan corak data yang hampir linear ini menunjukkan betapa negara-negara yang menjaga hak pemilikan harta menikmati pertumbuhan ekonomi yang lebih sihat.

Isu hak pemilikan harta jarang-jarang dibincangkan di negara kita. Tetapi kepentingannya jelas sekali. Perlindungan hak pemilikan harta yang baik akan menyumbang ke arah kestabilan negara kerana keyakinan rakyat bahawa harta mereka, baik harta fizikal mahupun harta intelektual, akan dilindungi undang-undang.

Dari segi pembasmian kemiskinan pula, sebagai contoh, ramai warga kampung yang memiliki tanah atau aset sendiri. Sekiranya hak pemilikan mereka diiktiraf dan dilindungi undang-undang, mereka boleh menggunakan aset tersebut sebagai sandaran mendapatkan modal untuk aktiviti perekonomian yang akan membantu mempertingkat kualiti hidup. Ataupun mereka boleh membenarkan pihak-pihak lain menggunakan aset mereka untuk menjana wang melalui sewa, pajakan ataupun perkongsian.

Sama juga halnya dengan perlindungan harta intelektual yang lebih sempurna. Pada tahun 2007, Pertubuhan Harta Intelektual Dunia (WIPO) dan United Nations University telah melancarkan satu laporan kajian di enam negara untuk menilai impak usaha memperbaiki sistem perlindungan harta intelektual terhadap pembangunan ekonomi negara-negara tersebut. Malaysia turut serta dalam kajian ini dan pasukan penyelidik kita terdiri daripada pakar-pakar di Universiti Teknologi MARA dan Universiti Islam Antarabangsa.

Pasukan penyelidik Malaysia ini mendapati bahawa terdapat hubungan positif antara pengukuhan perlindungan harta intelektual dengan jumlah aliran masuk pelaburan asing. Malahan, pengukuhan berterusan perlindungan harta intelektual dan penghapusan lanun cetak rompak juga memberi kesan positif terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Secara tidak langsung ini menunjukan bahawa perlindungan harta intelektual yang baik boleh membantu meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, kajian tersebut mendapati bahawa terdapat hubungan positif antara usaha kerajaan memperkukuh sistem perlindungan harta intelektual kita dengan pertumbuhan ekonomi negara. Semua negara lain yang terlibat dalam kajian WIPO ini, iaitu China, India, Jepun, Korea dan Vietnam, juga mendapati hasil yang sama.

Melindungi hak pemilikan harta fizikal dan harta intelektual merupakan antara syarat utama dalam usaha membangunkan ekonomi dan membasmi kemiskinan. Perlindungan pemilikan harta yang baik akan mempertingkat tahap keyakinan rakyat dan seterusnya memperkukuh kestabilan negara. Rakyat akan boleh menggunakan aset mereka dalam aktiviti perekonomian demi memperbaiki tahap ekonomi dan mobiliti sosial.

Para pelabur juga akan lebih yakin bahawa pelaburan mereka dilindungi undang-undang. Ini boleh membantu mempertingkat jumlah pelaburan daripada pelabur dalam negara serta juga aliran masuk pelaburan asing.

Jelas sekali bahawa usaha membasmi kemiskinan di Malaysia hanya akan berjaya jika kita memperkukuhkan sistem untuk melindungi pemilikan harta fizikal dan intelektual. Para pembuat dasar, terutama di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, serta pemimpin politik negara perlu memberi perhatian kepada perkara ini. Mereka perlu memastikan perlidungan pemilikan harta dijadikan elemen utama strategi pembasmian kemiskinan negara kita.

—–

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank. Satu versi artikel ini telah disiarkan dalam Utusan Malaysia (18 Mac 2009)

Klik di sini untuk memuat turun IPRI 2009

2 Comments

  • karamjit singh 2010 Feb 09 / 13:32

    hope there is an english version of this report ..
    congrats on the official launch too !
    all the best .. stay muhibbah !

  • Immanuel Lim c/o Discern Publishing House 2010 Mar 22 / 19:12

    VERY true, Saudara Wan Saiful, private property ownership is vital to eliminating poverty. Give a man a fish today and he’ll go hungry tomorrow. Teach a man to fish and he’ll depend on the fish pond owners for a living. Teach him how to fish and own his own ponds … and the potential is endless! 🙂

Comments are closed.

Leave a comment